Powered by Blogger.

Thursday, March 10, 2011

STAR VS SERATAS : KAMILAH JUARA

Perlawanan akhir?? Bagai tidak percaya!! Masih terngiang-ngiang lagi cabaran yang dibuat oleh Cikgu Nizam dan cikgu Shahnun sewaktu kekalahan di MSSD. 

"Saya takkan kalah kepada MCKK dua kali!! Hangpa takda maruah ka?? Mana maruah hangpa??"
"Saya resign kalau macam ni!!"
Semuanya seolah-olah mencabar dan menduga kami. Dan akhirnya, kami buktikan di bumi Sungai Petani. Betapa kami boleh jika memberi tumpuan yang sebaiknya pada perlawanan. Terima kasih atas kata-kata semangat. Memulakan perlawanan menentang SERATAS sebenarnya tiada tekanan di pihak STAR, sebaliknya tekanan beralih kepada SERATAS kerana mereka merupakan juara kebangsaan tahun 2009. Apatah lagi dalam pertemuan terakhir kami di liga Hoki Perak, SERATAS telah mengalahkan STAR 4-0.

STAR berjaya mengimbangi permainan laju pasukan SERATAS dengan beberapa percubaan SERATAS berjaya dipatahkan. Dan sesekali STAR membuat counter attack dan hampir membuahkan gol. Strategi meletakkan dua forward di atas  nampaknya menajdi kerana Half diperkuatkan dengan empat pemain. Dan sedikit sebanyak menyukarkan SERATAS untuk menembusi kawasan 50 STAR. Akhirnya peluang keemasan tiba apabila bola hantaran lintang oleh Faris Habeha kepada Zahran telah dihalang oleh penjaga gol SERATAS. Dan Zahran telah dijatuhkan dalam kotak penalti. Pengadil tidak teragak-agak memberikan penalti stroke.

Pemain STAR gegas berbincang dan kapten pasukan, Amizal Mansor dipilih untuk menggalas tanggungjawab tersebut. Setelah wisel dibunyikan, Amizal Mansor sekali lagi tenang mengambil pukulan dan mudah menewaskan penjaga gol SERATAS yang terpedaya dengan 'dummy' tolakan Amizal Mansor yang tidak seberapa sahaja. Buat seketika stadium bergema dengan sorakan para penyokong STAR untuk kedudukan 1-0.

Namun, malang tidak berbau apabila Amizal Mansor terpaksa diusung keluar apabila terkena bola pukulan pemain SERATAS. Amizal Mansor terpaksa berhenti daripada terus beraksi. Dan ketika inilah, percaturan diubah dengan meletakkan Rusydi mengambil alih posisi Amizal. Dan Alhamdulillah.. Rusydi telah berjaya melaksanakan tugas dengan sempurna. Kedudukan separuh masa pertama STAR mendahului 1-0.

Dalam separuh masa ke dua, STAR cuba untuk memperlahankan rentak kerana menyedari kedua-dua pemain dari kedua-dua pasukan mula keletihan akibat perlawanan separuh akhir sebelum itu. Dan ketika ini Encik Shahnun mengarahkan semua pemain  bertahan di kawasan 50 STAR. STAR sesekali berjaya menunjukkan tentangan apabila melakukan 'counter-attack' ke kubu SERATAS. Nazri Syamil, Khairul Khalis, Nafis Adzhar, Ridzwan Ramli, Muhd. Rusydi, Afiq Azman serta Aiman Baharom bagaikan tiba-tiba menunjukkan belang masing-masing bagi mempertahankan kubu STAR.. Ketiadaan Amizal Mansor digantikan dengan Aiman Zairudin yang menjadi kapten bagi mengetuai STAR pada ketika itu.

Dan hasilnya, sehingga wisel penamat, STAR berjaya mengekalkan kedudukan 1-0. Sekali lagi air mata kegembiraan tumpah di bumi Sungai Petani atas kemenangan yang diberikan oleh Allah ini.  Dan buat kesekian kalinya laungan lagu 'Rouse Up' berkumandang di stadium. STAR mencipta sejarah buat pertama kalinya menjadi Johan Hoki SBP Zon Utara setelah kemarau yang agak panjang. ALHAMDULILLAH.. Terima kasih cikgu, coach, old boys, STARian, dan juga supporters sekalian..


Para peserta sewaktu acara penutup


Hari ini hari mereka! Bangga melangkah menaiki astaka untuk menerima pingat emas.


Rusydi tersenyum puas muncul juara...




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

STAR VS MCKK : TATKALA BUKU BERTEMU RUASNYA

Pagi yang cerah, akhirnya menjelma jua. Pagi yang dinanti-nantikan. Pagi yang akan menentukan kelangsuangan perjuangan 15 anak muda ini. Pagi yang akan membuktikan maruah yanag telah hilang akan kami tebus semula. Menentang MCKK bukan sukar, namun tidak mudah. Walaupun kelihatan MCKK punyai sedikit kelemahan dari aspek serangan dan juga pertahanan, namun, kami sesekali tidak akan memandang enteng keupayaan musuh tradisi ini. cukuplah selama ini air mata kami tumpah, melihat deligasi Bandar Di Raja ini muncul pemenang perlawanan  antara kami. Dan kami tidak ingin lagi berada di belakang mereka. 

Benar sekali kata guru dan senior , apabila berhadapan dengan MCKK, pasti ada satu perasaan yang kurang enak. Kelihatan Ridzuan Ramli agak tertekan dengan perlawanan ini kerana dia merupakan satu-satunya pemain yang mudah hilang fokus. Namun semangat berpasukan yang diterapkan berjaya menenangkannya. Sebelumnya, pasukan SERATAS telah berjaya melangkah ke final setelah mengalahkan SM Sains Sultan Muhammad Jiwa dengan penentuan penalti stroke apabila ke dua-dua pasukan terikat 1-1. Dan akhirnya SERATAS berjaya menundukkan SEMUJI dengan 4-2.

Perlawanan bermula dengan serangan yang cuba dilancarkan oleh STAR gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan MCKK. Sayang seribu kali sayang, walaupun mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun, gawang MCKK masih gagal untuk dibolosi. Begitu juga dengan pukulan sudut penalti (PC) gagal dimanfaatkan oleh pasukan STAR. Kemuncak kepada kegagalan ini apabila jaringan padang oleh Zahran Syahmi tidak disahkan oleh pengadil perlawanan. Walaupun kecewa, namun semangat juang para pemain tidak luntur. Ampuh mengetuai bahagian pertahanan, Amizal Mansor dan rakan-rakan begitu tenang mengawal benteng dari serangan pihak lawan. 

Keputusan penuh kedua-dua pasukan terikat 0-0, dan permainan diheret ke masa tamabahan, iaitu golden goal. Namun, kedua-dua pasukan begitu hampa kerana gagal menjaringkan gol dan akhirnya pemenang terpaksa ditentukan oleh pukulan penalti stroke. Lima pemain telah dipilih untuk menggalas cabaran ini. Mereka adalah Amizal  Mansor, Aiman zairudin, Aiman Baharom, Nazri Syamil dan Faris Habeha. Debaran begitu dirasakan saat ini.

Selaku pemain pertama mengambil pukulan, Aiman Zairudin gagal menjaringkan gol. Bagaikan gugur jantung apabila melihat pemain MCKK mudah menewaskan Ameer untuk mereka mendahului 1-0. Namun, Faris Habeha sedikit melegakan apabila menjaringkan gol menjadikan kedudukan 1-1. Kemudiannya, pemain MCKK menceriakan kem STAR apabila gagal menjaringkan gol dalam percubaan ke dua.

STAR meneruskan delegasi dengan Nazri Syamil yang selaku pemain giliran ke-3 untuk mengambil pukulan penalti stroke. Dengan wajah yang tenang serta selamba, Nazri berjaya mengelirukan penjaga gol MCKK dan menambahkan jaringan menjadikannya 2-1. Kegembiraan hanya sementara apabila pemain MCKK juga berjaya menewaskan Ahmad Ameer. Katanya, Ahmad Ameer belum bersedia ketika itu namun pengadil mengesahkan jaringan tersebut. Kedudukan kembali menjadi 2-2.


Giliran seterusnya diambil oleh Aiman Syahir selaku pemain giliran ke-4. Aiman Syahir melangkah ke hadapan dengan yakin untuk menjaringkan gol. Wisel dibunyikan dan 'Swoooooff', TERSASAR..! Sorakan kegembiraan pemain MCKK kedengaran, moral pemain STAR semakin tercabar.. Menambahkan lagi kepiluan apabila pemain giliran ke-4 MCKK telah berjaya mengelirukan Ahmad Ameer, menjadikan kedudukan STAR di belakang, 2-3.

Namun, perjuangan masih belum berakhir. Tiba pula giliran Amizal Mansor,  kapten pasukan yang juga selaku pemain giliran ke-5. Sekiranya beliau gagal, maka hancurlah harapan STAR untuk mara ke peringkat kebangsaan pada tahun 2011. Beliau yang selaku watak kapten melangkah ke hadapan dengan tenang tanpa menghiraukan sorakan pemain MCKK. Sejurus wisel dibunyikan, Amizal mudah menolak masuk ke penjuru atas gol untuk mengembalikan kedudukan 3-3. Pemain STAR masing-masing menghela nafas lega. Dan kini harapan diletakkan di bahu Ameer Yusri untuk menyelamatkan STAR daripada tersingkir. Suasana stadium menjadi semakin riuh. Ameer Yusri tekad menyelamatkan STAR.. Dan........ YESSSS!!!! Bola berjaya ditampan kemas oleh Ameer Yusri untuk kedudukan kekal 3-3. Syukur, Alhamdulillah.

Maka, dengan itu, penentuan 'sudden death' pula diadakan dan MCKK dikehendaki mengambil pukulan penalti dahulu. Semua mata tertumpu kepada Ameer Yusri. Dibahunya terletak harapan menggunung. Dan, apabila pukulan diambil, Ameer menggunakan segala pengalaman dan kepakarannya untuk bergerak ke kiri, dan bola berjaya ditampan dengan kemas. Seluruh stadium gegak gempita. Dan kini harapan mula berbunga. Faris Habeha diberi kepercayaan untuk mengambil pukulan. Sebaik wisel dibunyikan , Fariis dengan yakin menolak masuk ke pintu gol MCKK dan tidak berjaya dijangkau oleh penjaga gol mereka. Dan wisel penamat dibunyikan panjang merayakan hari bersejarah STAR untuk buat kali pertama layak  ke Kejohanan Hoki SBP Kebangsaan secara merit setelah lima tahun mencuba. Semua pemain menangis kegembiraan sambil melihat para pemain MCKK sugul menerima kekalahan. Syabas STARIAN, kami bangga dengan anda!!






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Wednesday, March 9, 2011

SANTAI YANG MEMENATKAN

Kali ini kita nak rehatkan sedikit minda dengan entri-entri perlawanan. Bukan apa, takut readers semua bosan pula dengan cerita-cerita kejayaan kami. Hehe. Jangan marah. Ok lah sebenarnya malam tu STARIAN dan Mr. Shahnun jalan-jalan cari makan ke kedai mamak yang terdapat di Bertam Indah. Mak aiih, ingatkan dekat, rupanya dua kilometer juga kami berjalan malam tu. Hehe, nak menambahkan stamina la tu. Apapun kali ini kita layan je beberapa keping gambar ni, untuk merehatkan minda.

Gelagat STARIAN di asrama SM Sains Kepala Batas. Eh? Yang patut manjat tu Ameer Yusri a.k.a OB. Mana dia pergi??

Ditemani Abang Muazzin, iaitu Captain ANACONDA 2010. Terima kasih Azin, sudi datang dari jauh bagi moral support untuk team.

Anak sapo lah ni?? Macam pendatang tanpa izin je?? Ramai lak yang hangus masa ni?? Eh, Mantam mana?? 

Haha, makan Afiq jangan tak makan. Sedapkan?? Maklumlah free ada orang belanja. Thanks kepada 'dia' yang belanja anak-anaknya makan.

Apa korang buat ni labi?? Takde kerja betul.. So readers semua, Don't Try This At Home!!!

Kami pulang ke asrama pada jam 12.00 malam. Adoi, ingat nak bersantai, rupanya santai yang memenatkan, terpaksa berjalan sejauh 2km. Ok kena tidur untuk perlawanan menantang MCKK pagi esok. GO ANACONDA!!!

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

STAR VS SM SAINS KEPALA BATAS : LAYAK KE SEPARUH AKHIR

Medan menguji kekuatan mental dan fizikal telahpun tiba. Satu persatu perlawanan suku akhir telah pun dijalankan. SEMUJI, SERATAS dan MCKK telahpun mengesahkan kedudukan mereka di separuh akhir. Dan kini semua mata terarah kepada STAR sama ada mampu untuk menjejakkan kaki ke separuh akhir. Berbekalkan dengan semangat baru dengan kehadiran Coach Nizam yang datang dari Ipoh, kami memulakan aksi suku akhir dalam panas terik di kepala. Bayangkan jam menunjukkan pukul 1.50 petang. Namun, perjuangan maruah akan terus berkobar-kobar dalam diri setiap ahli pasukan.

Berbekalkan corak permainan menyerang seawal minit pertama, STAR berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan yang tampak tidak biasa bermain dalam terik matahari. Dalam perlawanan ini, pemain diarahkan berkampung dalam kawasan lawan demi mencari gol semangat. Dan akhirnya gol pertama yang dicari terhasil melalui pukulan sudut penalti yang berjaya dilakukan dengan sempurna oleh Nazri  Syamil pada minit ke - 7 perlawanan. Mendapat gol semangat membuatkan STAR terus mengasak bertali arus ke gawang lawan. Namun gagal untuk mendapatkan gol. Dan akhirnya pada minit ke 18, STAR berjaya mendapat pukulan sudut penalti yang ke-6 perlawanan, dan kali ini Nazri Syamil tidak menghampakan dan berjaya menjaringkan gol ke dua peribadi melalui pukulan sudut penalti.

Tamat separuh masa pertama, kedudukan STAR mendahului 2-0. Strategi baru dan kelemahan separuh masa pertama  telah diatasi pada separuh masa ke dua. STAR berpeluang menambahkan jaringan namun, penyudah yang kurang berbisa dari Zahran dan faris menyebabkan STAR gagal menambah jaringan buat seketika. Namun akhirnya pada minit ke 27, STAR berjaya mendapat satu lagi PC, dan kali ini Khairul Khalis tidak mahu terlepas dari mencatatkan nama sebagai penjaring dengan reflect bila hantaran Aiman Zairudin menjadikan kedudukan STAR mendahului 3-0. 

Seminit kemudian Zahran Syahmi yang mendapat umpanan dari Faris Habeha berjaya menolak masuk untuk  gol ke-4 perlawanan dan keputusan ini kekal sehingga tamat masa permainan. STAR menang 4-0. Alhamdulillah STAR buat dua tahun berturut-turut layak ke separuh akhir. Dan kali ini musuh tradisi MCKK menunggu kami di separuh akhir. Nampaknya pertemuan ini mengulangi pertemuan pada tahun 2010. Pertembungan yang sangat menarik antara dua sekolah yang sering menjadi rival  dalam sukan dan permainan. Di hati para pemain, tersemat satu dendam, untuk membalas dendam kekalahan dua kali pada tahun lepas. Pertamanya sewaktu separuh akhir Zon Utara, dan kali kedua dalam perlawanan kumpulan X/Y Kejohanan Hoki SBP Kebangsaan. Apakah dendam ini akan terbalas?? Sama-sama kita nantikan.






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

UNDIAN SUKU AKHIR

Usai  perlawanan ke tiga peringkat kumpulan, perlawanan peringkat yang lebih mencabar pula menanti kami. Petang itu juga, undian peringkat kalah mati bermula. Kami berdoa semoga undian memihak kepada pasukan dari Ipoh ini supaya tidak dipertemukan dengan beberapa lagi pasukan pilihan pada peringkat suku akhir. Bersama doa dan harapan seluruh pasukan, Mr Shahnun telah dipertanggungjawabkan mengundi bagi pihak pasukan.

Menanti dengan penuh debaran, akhirnya  undian yang diharapkan memihak kepada STAR. Berikut senarai undian yang telah dijalankan :

Suku akhir 1
SMS Sultan Muhammad Jiwa VS SM Sains Tun Syed Sheikh Shahbudin

Suku Akhir 2
SM Sains Raja Tun Azlan Shah VS SM Sains Pokok Sena

Suku Akhir 3
Malay College Kuala Kangsar VS SM Sains Teluk Intan

Suku Akhir 4
Sekolah Tuanku Abdul Rahman VS SM Sains Kepala Batas

Semoga STAR terus bersinar di suku akhir. Sekiranya STAR memenangi perlawanan ini, maka, kemungkinan besar STAR akan menemui musuh tradisi, MCKK pada peringkat separuh akhir... Com'on STAR!


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

STAR VS INTEGRASI KUBANG PASU : MENGESAHKAN JUARA KUMPULAN

Dengan kemenangan dua kali menewaskan SAINA dan Sains Kubang Pasu sebenarnya telah mengesahkan tempat STAR untuk bersaing di peringkat suku akhir nanti. Namun, terlebih dahulu STAR perlu melalui perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Ada dua misi yang menanti. Pertamanya kami ingin menang dengan bergaya, dan yang kedua, mahu menjadi juara kumpulan. Dan pasukan terakhir yang perlu dihadapi dalam misi menggungguli kumpulan D ialah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu.

Dalam perlawanan yang diadakan pada jam 5 petang ini, STAR memperkemaskan corak permainan menyerang. Pasukan diarahkan untu naik sehingga ke kawasan 50  pasukan lawan dan hampir menguasai sepenuhnya kawasan mereka. hanya sekali-sekala sahaja pasukan lawan berjaya meloloskan kepungan. Tahniah buat barisan pertahanan (Rusydi, Nazri Syamil, Ridzwan Ramli) yang diketuai oleh Kapten Amizal Mansor yang sehingga perlawanan ke  tiga masih ampuh mengekang asakan pihak lawan dan tidak lupa juga Ameer Yusri selaku penjaga gol masih belum diuji sepenuhnya.

Dalam perlawanan ini STAR berjaya menewaskan SBPI Kubang Pasu dengan jaringan yang lebih besar iaitu 4-0. Gol-gol telah dijaringkan oleh Aiman Syahir pada minit ke -5 dan 12 perlawanan, Amizal Mansor pada minit ke -26 dan Zahran Syahmi menyempurnakan kemenangan dengan gol ke -4 pada minit ke 34 perlawanan. Kesemua gol adalah gol yang menarik serta memasuki sudut sukar pintu gol SBPI Kubang Pasu.

Syabas diucapkan kepada seluruh ahli pasukan yang  telah mengungguli kumpulan D dengan 9 mata maksimum, 9 jaringan dan belum lagi dibolos. Kita nantikan perkembangan dan pertembungan STAR di suku akhir pula.



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Tuesday, March 8, 2011

STAR VS SM SAINS KUBANG PASU : MOMENTUM KEMENANGAN

Menyedari betapa kelemahan sewaktu berhadapan dengan SAINA harus dibaiki, kami memuhasabah diri. Akhirnya perlawanan kedua menyusul dan pendatang baru SBP, Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu menanti. Kekuatan SMS KP yang misteri membuatkan kami berhati-hati. Alhamdulillah, keserasian antara ahli pasukan mula bertambah..  Kami memulakan perlawanan dengan garang dan gol pertama hadir pada minit ke-5 perlawanan, melalui Faris Habeha. Nampaknya Faris Habeha mula memahat nama sebagai penjaring terbanyak STAR. Perlawanan separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-0.

Nampaknya SMSKP tidaklah sekuat yang dibayangkan dan kelemahan di bahagian pertahanan digunakan sepenuhnya oleh para pemain STAR untuk memburu jaringan yang lebih banyak di babak kedua. Dalam separuh masa kedua, STAR merancakkan serangan  ke kubu lawan dan hasilnya Zahran Syahmi turut memahatkan nama sebagai penjaring dalam perlawanan ini dengan gol ke dua STAR pada minit ke -24 perlawnan menjadikan kedudukan 2-0. Sewaktu perlawanan berbaki 5 minit, Faris Habeha sekali lagi menjadi wira apabila meledakkan jaringan ketiga STAR pada minit ke -35. Akhirnya STAR menang 3-0 ke atas SM Sains Kubang Pasu.

Secara keseluruhannya, berlaku sedikit peningkatan dalam perlawanan ke dua ini terutamanya penyudah yang agak tajam. Dengan kemenangan ini, STAR masih mendahului kumpulan D dengan 6 mata maksimum. Perlawanan ke tiga nanti, STAR akan bertemu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu.



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...