Powered by Blogger.

Wednesday, June 30, 2010

SUKMA 2010


BANDAR HILIR (19 June 2010) - Meskipun tanpa kehadiran pemain kebangsaan, pasukan hoki Melaka tetap mempamerkan persembahan yang cemerlang serta semangat yang jitu dalam perlawanan akhir menentang Wilayah Persekutuan.

Melaka mempamerkan rentak permainan yang cemerlang sebelum dikejutkan dengan jaringan kemenangan dari pasukan Wilayah Persekutuan pada minit-minit akhir perlawanan untul tuan rumah tewas 1-0 kepada Wilayah Persukutuan Namun begitu aksi cemerlang hoki Melaka sepanjang Sukan Malaysia XIII membolehkannya menerima dua anugerah - Anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Anugerah Pasukan Terbersih Sepanjang Perlawanan.

Penjaga gol Melaka, Mohd Ridzwan Azmi, 22 berkata beliau gembira menerima anugerah itu namun tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila tewas kepada Wilayah Persekutuan.

"Meskipun kami tiada pemain kebangsaan, namun kami menggunapakai semangat rakan-rakan sepasukan dan sokongan padu penyokong yang tidak jemu-jemu menyokong kami sejak diawal perlawanan,"katanya yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Sementara itu, Mohd Zul Hafiz Mohd Ali,20 berkata tunjuk ajar jurulatih dan rakan sepasukan serta sokongan keluarga membuatkannya bersemangat untuk beraksi dipusingan akhir.

"Saya bersyukur dapat pingat perak namun pada awalnya memang kami mahu pingat emas, tetapi saya tetap bangga kerana ini kali pertama hoki Melaka mara ke final,"katanya yang bermain diposisi pertahanan dan juga merupakan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sementara itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar berkenan mencemar duli bagi menganugerahkan pingat dan hadiah iringan kepada pemenang.

Turut berkenan menyampaikan hadiah, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah dan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Keputusan kekal, pingat emas milik Wilayah Persekutuan dan pingat perak menjadi milik Melaka manakala pasukan Pulau Pinang berjaya meraih pingat gangsa.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Monday, June 28, 2010

KELAB PENYOKONG AUSSIE






Kejohanan Hoki Sultan Azlan Shah 2010 kembali lagi. Seperti biasa, sekolah-sekolah di sekitar Ipoh telah dijemput untuk menjadi Kelab Penyokong bagi pasukan-pasukan yang bertanding. Pada tahun 2010, STAR amat bertuah kerana diberi peluang untuk menjadi Kelab Penyokong Pasukan Juara Dunia, Australia.

STAR dan SMK Tambun merupakan kelab penyokong bersama bagi pasukan yang lebih mesra dengan gelaran Aussie ini, Apa yang menarik, setiap kali pasukan Australia bermain, STAR akan berada di stadium bagi menyokong pasukan ini. Tentulah sorakan dan cheer dari pasukan STAR yang paling kuat bergema, havoc dan berada pada kelas yang tersendiri. Pasukan sorak STAR sentiasa dinanti-nantikan kerana kita sememngnya memiliki tradisi cheer yang hebat.

Apapun, dalam perlawanan penentuan tempat ke tiga dan ke empat, STAR walau dalam kehujanan yang lebat, masih mampu memberikan sorakan bertenanga kepada pasukan AUstralia, walaupun tenggelam dalam kebanjiran ribuan penonton malaysia. Akhirnya Malaysia tewas 2-4. Diharapkan pada tahun hadapan STAR sekali lagi diberi penghormatan untuk menjadi KElab Penyokong Malaysia pula..
TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

FRIENDLY STAR-NONGKA HIGH SCHOOL, PITTAYA , BANGKOK, THAILAND



Salam buat semua. Al-hamdulillah pasukan hoki STAR semakin mengorak langkah sederap ke hadapan. Sebagaimana yang telah saya nyatakan, tahun 2010 merupakan tahun untuk memulakan apa yang saya lihat hampir terkubur. Walaupun tiada kejuaraan besar yang diraih, namun sebagaimana bayi yang baru belajar bertatih saya cuba untuk membawa pasukan ini sebaik mungkin.

Baru-baru ini, saya telah mengatur satu perlawanan persahabatan antarabangsa yang pertama buat pasukan ini. Pada 30 April lepas perlawanan persahabatan telah diatur dengan Nongka High School, Pittaya, Bangkok yang dalam rangka mengadakan perlawanan persahabatan dengan sekolah-sekolah di Malaysia. Perlawanan telah diadakan di Padang Hoki KISDAR, Kuala Kangsar, Perak, melibatkan pasukan bawah 16 tahun, sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Hoki SBP Kebangsaan.

Alhamdulillah, walau agak kurang bernasib baik apabila kami tewas 3-4, namun semangat juang yang dipamerkan oleh para pemain amat mengagumkan walau satu ketika mendahului 3-1. Apapun tahniah buat semua pemain. Saya berharap untuk mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan buat pasukan yang baru bertatih ini.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Friday, June 11, 2010

KEJOHANAN HOKI PIALA AZLAN SHAH 2010


JUARA bertahan, India dan Korea Selatan diisytiharkan selaku juara bersama edisi ke-19, Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah selepas perlawanan akhir terpaksa dihentikan gara-gara cuaca buruk di Ipoh malam tadi.

Setiausaha Pengelola Kejohanan, Hashim Mohamad Yusoff berkata keputusan itu dibuat selepas menunggu 45 minit dengan harapan final dapat diteruskan selepas penonton hanya sempat menyaksikan 12 minit permainan sebelum hujan lebat. Kedudukan terikat 0-0 ketika itu. Selepas menunggu lebih 45 minit seperti ditetapkan peraturan pertandingan dan persetujuan kedua-dua pihak, India dan Korea Selatan diumumkan juara bersama, katanya di sidang media.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah penganjuran kejohanan itu menyaksikan perlawanan akhir terpaksa dihentikan serta dua pasukan diisytiharkan juara bersama.
Berikutan kejayaan malam tadi menyaksikan India muncul juara buat kali kelima selepas melakukannya pada 1985, 1991, 1995 dan tahun lalu manakala bagi Korea Selatan kali kedua selepas 1999.

Sementara itu, tuan rumah, Malaysia terus hampa apabila tewas kepada juara dunia, Australia 5-3 dalam perebutan tempat ketiga. "Mereka terlalu bagus untuk kita. Kita cuba memberi saingan kepada mereka tetapi menerima padah apabila mereka meningkatkan permainan terutama pada babak kedua. Benteng kita roboh pada tekanan lawan dan kesilapan demi kesilapan dilakukan membolehkan Australia menghukum kita, " kata jurulatih negara, Stephen Van Huizen.

Sementara itu, Pakistan mendapat tempat kelima selepas menumpaskan China 6-5 melalui pukulan penalti sudden death selepas kedudukan masa penuh dan tambahan terikat 1-1.

KEPUTUSAN

Final
India 0 Korea 0
(India dan Korea diumumkan juara bersama selepas perlawanan tidak dapat diteruskan kerana cuaca buruk)

Tempat ketiga
Australia 5 Malaysia 3

Tempat kelima
Pakistan 1 China 1 (Pakistan menang penalti 6-5)
TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Monday, May 24, 2010

KEJOHANAN HOKI SBP ZON UTARA




Pada 1-3 April 2010 telah berlangsung Kejohanan Hoki SBP Zon Utara di SM Sains Kepala Batas, Pulau Pinang. STAR telah menghantar pasukan bawah 16 tahun sebagai pendedahan untuk menyertai Kejohanan Hoki SBP Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 21-24 Julai 2010 di Ipoh. Semua perlawanan diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).

Sebanyak 15 pasukan telah mengambil bahagian dalam ketegori lelaki manakala kategori perempuan memperlihatkan 10 pasukan telah menyahut cabaran. STAR diletakkan satu kumpulan bersama Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah dan SBPI Gopeng. Di peringkat Kumpulan STAR berjaya mengikat ke dua-dua pasukan dengan kadudukan seri 0-0.

STAR muncul naib johan kumpulan dan melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Di peringkat suku akhir STAR berjaya menewaskan Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dengan jaringan 1-0. Seterusnya di peringkat akhir STAR telah bertemu musuh tradisi, Malay College Kuala Kangsar. Keputusannya, STAR tewas 0-1.

Maka, perjuangan STAR berakhir di peringkat separuh akhir sahaja. Namun begitu, STAR tetap berpeluang menebus kehampaan apabila layak ke peringkat kebangsaan atas tiket tuan rumah. Keputusan perlawanan akhir SM Sains Sultan Muhammad Jiwa menewaskan The Malay College Kuala Kangsar 3-1.




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Monday, May 17, 2010

KUALA LUMPUR JUARA HOKI PIALA RAZAK



Harvinder Singh menjadi wira Kuala Lumpur apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 ke atas Perak pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Razak, semalam.

Pada perlawanan yang sengit itu, kedua-dua pasukan yang bersaing dalam saingan Divisyen 1 saling membalas serangan, namun pertahanan kedua-dua pasukan amat utuh sekali.

Usaha Kuala Lumpur untuk menembusi gawang berjaya dinafikan benteng pertahanan Perak.

Sementara serangan Perak yang garang pula beberapa kali berjaya dijinakkan Kuala Lumpur sehingga kedua-dua pasukan buntu mengatur strategi demi strategi.

Namun, kebuntuan berakhir apabila Kuala Lumpur menerusi Harvender Singh berjaya menghasilkan gol menerusi jaringan padang pada minit ke-70 yang mengesahkan kejuaraan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Melaka berjaya menduduki tempat ketiga kejohanan Hoki Piala Razak apabila menumpaskan Johor 4-3.

Johor memulakan jaringan gol apabila Balit Singh membuat pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Johor menambah gol kedua menerusi Joel Samuel Van Huizen pada minit ke-20.

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan Johor meraikan dua gol pertama tidak lama apabila Melaka menjaringkan gol pertama menerusi Chua Boon Huat pada minit ke-30.

Pada babak kedua pula, Melaka berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Boon Huat pada minit ke- 43.

Namun, Johor berjaya memintas Melaka dengan jaringan sudut penalti oleh Shaheeb Shah Halim Shah.

Melaka sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan apabila Amirrullah Zainul menjaringkan gol menerusi jaringan sudut penalti pada minit ke-65.

Boon Huat sekali lagi menjadi wira Melaka apabila berjaya menjaringkan gol hasil jaring padang sekali gus berjaya memenangi perlawanan ini.

Sementara itu, Pahang berjaya menduduki tempat pertama Divisyen 2 selepas mengalahkan Singapura 2-0 sekali gus melayakkan Pahang bersaing dalam Divisyen 1 pada tahun depan.





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

STEPHEN VAN HUIZEN DILANTIK KETUA JURULATIH HOKI NEGARA


Tiada perasaan gembira ditunjukkan oleh jurulatih utama hoki negara yang baru dilantik, Stephen Van Huizen, apabila dikhabarkan mengambil alih jawatan tersebut daripada Tai Beng Hai pada Majlis Mesyuarat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), 3 April lepas.

Tanpa berselindung, Van Huizen mengakui masih mahu bekerja bersama Beng Hai sebagai jurulatih seperti mana sebelum ini.

Beliau menyifatkan pemberian jawatan itu sebenarnya tidak akan memberikan sebarang perbezaan buat dirinya dalam cara membimbing skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Selain berasa terkejut dengan keputusan yang diberikan oleh PHM, Van Huizen juga tidak menyangka secara tiba-tiba berada di atas kedudukan Beng Hai sedangkan rakannya itu telah bersusah payah membentuk sebuah pasukan mantap sepanjang tahun lalu.

''Sedangkan saya pada asalnya diserap untuk membantu Beng Hai menghadapi dua kejohanan dalam masa terdekat ini dan tidak sampai beberapa bulan, saya telah diangkat sebagai jurulatih utama sementara Beng Hai sebagai jurulatih kedua.

''Pada pendapat saya, Beng Hai sebenarnya berjaya membawa skuad hoki negara kita dengan baik jika melihat pencapaian pada kelayakan Piala Dunia di Invercargill, New Zealand walaupun gagal layak ke pusingan akhir.

''Bagaimanapun, saya perlu menerima keputusan PHM ini dengan rela hati tetapi dalam masa sama, saya dan Beng Hai akan terus amalkan perbincangan serta keputusan bersama daripada segi taktikal serta pemilihan pemain,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Sabtu lalu, Presiden PHM, Tengku Abdullah Tengku Ahmad Shah bersama ahli jawatankuasanya memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat jurulatih asing seperti yang dirancang sebelum ini yang mana nama bekas jurulatih Belanda, Roelant Oltmans menjadi sebutan bakal memegang jawatan tersebut daripada Beng Hai serta Van Huizen.

Khidmat Van Huizen sebagai jurulatih utama dijangka akan berterusan sehingga Sukan Olimpik London 2012 memandangkan Tengku Abdullah mengeluarkan pandangan bahawa jurulatih tempatan akan memegang jawatan itu sehingga masa berkenaan.

Beng Hai, yang dilantik sebagai jurulatih pada 27 Disember 2008 berjaya membawa skuad kebangsaan muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah, April lalu, namun sekadar mampu meletakkan skuad negara di tempat keempat dalam kejohanan Piala Asia di Kuantan sebulan selepas itu.

Di Invercargill, skuad negara kecundang pada perlawanan terakhir ke atas New Zealand 1-2 dalam perebutan slot terakhir ke Piala Dunia.

Ditanya sasaran utamanya pada tahun ini, Van Huizen melihat Sukan Asia antara kejohanan paling penting kerana kedudukan sebagai juara mampu meletakkan Malaysia beraksi secara automatik di Sukan Olimpik.

''Namun, kedudukan kejohanan lain juga akan diambil serius oleh saya dan Beng Hai kerana Sukan Komanwel serta Piala Sultan Azlan Shah tidak kurang pentingnya kepada skuad kebangsaan, '' katanya.

Dia bersama Beng Hai telah menyerahkan beberapa nama pemain baru kepada PHM untuk proses kelulusan, namun enggan memberitahu nama-nama yang dipilih kerana masih belum mendapat lampu hijau daripada badan induk hoki negara itu.

''Dalam senarai pemain itu, ada pemain senior dan ada juga muka baru, maaf kerana saya tidak berikan nama-nama mereka kerana kuasa mengumumkannya terletak pada PHM, '' jelasnya.

Skuad kebangsaan akan memulakan latihan pusat hari ini di Stadium Hoki Tun Razak selepas menamatkan aksi pada kejohanan Piala Razak yang berlangsung di Kuantan, baru-baru ini.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...