Aksi Malaysia pada penentuan tempat kelima hingga kelapan kejohanan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, semalam ibarat 'harimau terluka' apabila membenam Pakistan 3-1.
Kemenangan itu sekurang-kurangnya dapat meredakan kekecewaan gagal memburu slot ke Piala Dunia 2014 menerusi kejohanan di sini selepas tewas 0-6 kepada Jerman pada aksi suku akhir Khamis lalu.
Lebih manis ia adalah kemenangan pertama skuad Paul Revington ke atas pasukan terbaik Asia, Pakistan sejak mengendalikan skuad kebangsaan Ogos tahun lalu.
Revington berkata, perlawanan menentang Pakistan sentiasa sengit tetapi semalam pemain berjaya mengatasi lawan dengan baik.
"Menentang pasukan seperti Pakistan memerlukan pemain menjadi lebih bijak ketika melakukan serangan dan kami berjaya melakukannya hari ini (semalam)," katanya.
Malaysia meraih gol pada minit ke-14 hasil pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim namun Pakistan kedudukan dan berjaya melakukannya pada minit ke-16 menerusi gol padang Shafqat Rasool.
Pakistan tertekan apabila Imran Butt menjadikan gol sendiri pada minit ke-19 untuk Malaysia mendahului 2-1 dan Malaysia menambah gol ketiga pada minit ke-38 hasil jaringan Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil.
0 comments:
Post a Comment