Powered by Blogger.

Sunday, November 8, 2015

SABAH, KUALA LUMPUR RANGKUL KEJUARAAN KEJOHANAN HOKI BAWAH 14 TAHUN KEBANGSAAN 2015



MELAKA: Sabah muncul juara Kejohanan Hoki Lelaki Bawah 14 Tahun Kebangsaan selepas menumpaskan Perak 7-6 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga wisel penamat. Pada perlawanan akhir kategori itu di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah di sini hari ini, Sabah terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-24 hasil gol padang oleh Nasrul Shahkhir Sadikul. Dalam saingan sengit dua pasukan itu, Perak kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi penalti yang disempurnakan Mohammad Afiq Iqbal Ahmad Faudzi. Sabah kemudian sekali lagi mendahului pada minit ke-63 dengan gol daripada Granson Noel Goden namun Perak berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-69 oleh Afsraf Iqbal Alias. 

Tuan rumah kejohanan, Melaka pula sekadar berpuas hati dengan tempat keempat kategori itu selepas ditewaskan Johor dengan jaringan 1-4 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat. 

Bagi hoki kategori wanita, Kuala Lumpur muncul juara selepas menumpaskan Selangor 3-2 pada perlawanan akhir di stadium sama hari ini. Kuala Lumpur mendahului dua gol hasil jaringan padang pada minit ke-18 oleh Nur Syaza Aqifah Safawi dan Khaliesha Nabila Kamarulzaman seminit selepas itu. Selangor bangkit dengan jaringan pertama pasukan pada minit ke-52 oleh Nur Atira Mohamad Ismail, namun Kuala Lumpur berjaya menambah gol ketiga pasukan pada minit ke-53 oleh Hasya Syahida Saifuddin. Nur Aisyah Fadzinu Aulla kemudian merapatkan jurang buat Selangor pada minit ke-62. Sabah menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Singapura 4-2 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat kategori sama. -- BERNAMA



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...