Powered by Blogger.

Monday, May 17, 2010

STEPHEN VAN HUIZEN DILANTIK KETUA JURULATIH HOKI NEGARA


Tiada perasaan gembira ditunjukkan oleh jurulatih utama hoki negara yang baru dilantik, Stephen Van Huizen, apabila dikhabarkan mengambil alih jawatan tersebut daripada Tai Beng Hai pada Majlis Mesyuarat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), 3 April lepas.

Tanpa berselindung, Van Huizen mengakui masih mahu bekerja bersama Beng Hai sebagai jurulatih seperti mana sebelum ini.

Beliau menyifatkan pemberian jawatan itu sebenarnya tidak akan memberikan sebarang perbezaan buat dirinya dalam cara membimbing skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Selain berasa terkejut dengan keputusan yang diberikan oleh PHM, Van Huizen juga tidak menyangka secara tiba-tiba berada di atas kedudukan Beng Hai sedangkan rakannya itu telah bersusah payah membentuk sebuah pasukan mantap sepanjang tahun lalu.

''Sedangkan saya pada asalnya diserap untuk membantu Beng Hai menghadapi dua kejohanan dalam masa terdekat ini dan tidak sampai beberapa bulan, saya telah diangkat sebagai jurulatih utama sementara Beng Hai sebagai jurulatih kedua.

''Pada pendapat saya, Beng Hai sebenarnya berjaya membawa skuad hoki negara kita dengan baik jika melihat pencapaian pada kelayakan Piala Dunia di Invercargill, New Zealand walaupun gagal layak ke pusingan akhir.

''Bagaimanapun, saya perlu menerima keputusan PHM ini dengan rela hati tetapi dalam masa sama, saya dan Beng Hai akan terus amalkan perbincangan serta keputusan bersama daripada segi taktikal serta pemilihan pemain,'' katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Sabtu lalu, Presiden PHM, Tengku Abdullah Tengku Ahmad Shah bersama ahli jawatankuasanya memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat jurulatih asing seperti yang dirancang sebelum ini yang mana nama bekas jurulatih Belanda, Roelant Oltmans menjadi sebutan bakal memegang jawatan tersebut daripada Beng Hai serta Van Huizen.

Khidmat Van Huizen sebagai jurulatih utama dijangka akan berterusan sehingga Sukan Olimpik London 2012 memandangkan Tengku Abdullah mengeluarkan pandangan bahawa jurulatih tempatan akan memegang jawatan itu sehingga masa berkenaan.

Beng Hai, yang dilantik sebagai jurulatih pada 27 Disember 2008 berjaya membawa skuad kebangsaan muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah, April lalu, namun sekadar mampu meletakkan skuad negara di tempat keempat dalam kejohanan Piala Asia di Kuantan sebulan selepas itu.

Di Invercargill, skuad negara kecundang pada perlawanan terakhir ke atas New Zealand 1-2 dalam perebutan slot terakhir ke Piala Dunia.

Ditanya sasaran utamanya pada tahun ini, Van Huizen melihat Sukan Asia antara kejohanan paling penting kerana kedudukan sebagai juara mampu meletakkan Malaysia beraksi secara automatik di Sukan Olimpik.

''Namun, kedudukan kejohanan lain juga akan diambil serius oleh saya dan Beng Hai kerana Sukan Komanwel serta Piala Sultan Azlan Shah tidak kurang pentingnya kepada skuad kebangsaan, '' katanya.

Dia bersama Beng Hai telah menyerahkan beberapa nama pemain baru kepada PHM untuk proses kelulusan, namun enggan memberitahu nama-nama yang dipilih kerana masih belum mendapat lampu hijau daripada badan induk hoki negara itu.

''Dalam senarai pemain itu, ada pemain senior dan ada juga muka baru, maaf kerana saya tidak berikan nama-nama mereka kerana kuasa mengumumkannya terletak pada PHM, '' jelasnya.

Skuad kebangsaan akan memulakan latihan pusat hari ini di Stadium Hoki Tun Razak selepas menamatkan aksi pada kejohanan Piala Razak yang berlangsung di Kuantan, baru-baru ini.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...