Powered by Blogger.

Saturday, August 6, 2011

KL JUARA PIALA RAZAK


MELAKA, (Bernama) - Juara bertahan Kuala Lumpur menewaskan Pahang 1-0 untuk muncul juara pada perlawanan akhir divisyen 1 Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-49 di Stadium Hoki, Bukit Serindit di sini malam ini.
Gol kemenangan Kuala Lumpur yang secara keseluruhan memenangi piala itu untuk kali ke-19, dihasilkan oleh Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ketiga separuh masa kedua tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat pada permainan sepenuh masa 70 minit.
Nabil Fiqri, 24, bijak membuat tolakan ke dalam menerusi jaringan gol padang setelah menerima umpanan Kelvinder Singh untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Khairul Nizam Ibrahim.
Kuala Lumpur memperoleh tujuh peluang menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti tetapi Khairul Nizam yang dipilih pemain terbaik perlawanan akhir, bertindak cemerlang mengawal pintu gol.
Pahang, juara Divisyen 2 pada kejohanan lepas dan muncul pada final kedua mereka selepas 1997, banyak bertahan dan sekali-sekala melakukan serangan balas.
Jurulatih Pahang, Izwan Suhardi Selamat ketika ditemui selepas perlawanan berkata beliau amat berpuashati dengan prestasi keseluruhan anak buahnya pada perlawanan akhir ini.
Dalam satu lagi perlawanan, Terengganu mengatasi Angkatan Tentera 4-3 untuk menduduki tempat ketiga.
Bagi perlawanan akhir Divisyen 2, Negeri Sembilan muncul juara mengatasi Selangor 1-0 menerusi jaringan Azraei Mohd Azizan.

SUMBER : ARENA.MY

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...