Powered by Blogger.

Monday, September 24, 2012

ENAM PASUKAN SAHKAN PENYERTAAN PIALA SULTAN JOHOR 2012



JOHOR BAHRU - Enam pasukan akan berentap pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2012 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini pada 11 hingga 18 November ini.

Selain skuad Bawah 21 negara, lima negara yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang dianjurkan buat kali kedua itu adalah Australia, New Zealand, Pakistan, India dan Jerman.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan bagi pasukan Bawah 21 sebelum mereka beraksi pada Piala Dunia Remaja di New Delhi, India, tahun depan.

"Ini merupakan antara persiapan kita bagi tentukan pasukan belia kita sentiasa berada di tahap kecergasan yang tertinggi. Ia bukan bermakna selepas kejohanan ini kita boleh bersenang lenang, banyak lagi perancangan lain akan menyusul," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kejohanan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, semalam.

Majlis pelancaran kejohanan disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Piala Sultan Johor 2012, merupakan kejohanan bertaraf antarabangsa yang diiktiraf Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Selain Kementerian Belia dan Sukan, kejohanan tersebut juga mendapat tajaan kerajaan negeri, Genting Berhad, UEM Land, Johor Corporation, Tenaga Nasional Berhad, SAJ Holdings Sdn. Bhd., Iskandar Waterfront, Central Malaysian Properties dan F&N Baverages.

Tahun lalu, Malaysia berjaya menundukkan Australia dengan 3-2 pada masa tambahan sekali gus muncul juara sulung kejohanan tersebut.




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...