Powered by Blogger.

Friday, November 22, 2013

MHC RENDAHKAN SASARAN PIALA DUNIA REMAJA 2013


Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) merendahkan sasaran daripada tempat kelima kepada enam terbaik keseluruhan pada saingan Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, 6-15 Disember ini.

Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, sasaran tersebut dilihat lebih realistik untuk dicapai oleh skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah kerana perlu bersaing dengan 16 pasukan lain.

Malah, Nur Azmi percaya sasaran tersebut mampu dicapai memandangkan 18 pemain skuad remaja yang ada kini adalah dalam kalangan yang terbaik.

"Sasaran ini dibuat selepas berbincang semula bersama Presiden MHC Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam mesyuarat baru-baru ini.

"Kita tidak mahu jika menetapkan sasaran terlalu tinggi bimbang pasukan sukar untuk mencapainya, sebaliknya jika pasukan berupaya mengatasi sasaran enam terbaik iaitu mara ke suku akhir maka ia sesuatu yang amat membanggakan buat kami," katanya dalam sidang akhbar ketika mengumumkan senarai 18 pemain ke Piala Dunia 2013 di Bukit Jalil, semalam.

Hadir sama, jurulatih Muhammad Dharma, pengurus pasukan, Mirnawan Nawawi dan Setiausaha Agung MHC, Johari Aziz.

Pada saingan Piala Dunia bulan depan Malaysia diundi bersama England, New Zealand dan Afrika Selatan dalam Kumpulan D.

Malaysia dijadual memulakan aksi pertama peringkat kumpulan menentang New Zealand pada 6 Disember depan.

Sementara itu Mirnawan berkata, 18 pemain dipilih daripada 200 yang hadir pada sesi pemilihan. 

"Kebanyakan pemain yang ada mempunyai pengalaman beraksi menentang pasukan handalan dunia.

"Diharap mereka mampu melaksanakan tugas pada Piala Dunia ini dengan sebaiknya," kata Mirnawan.


 Utusan Malaysia (M) Bhd

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...