Powered by Blogger.

Tuesday, July 13, 2010

IRAN PERTAHAN KEJUARAN HOKI DALAM DEWAN AHF


Iran mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah kejohanan hoki Dalam Dewan AHF Ketiga di Stadium Indera Mulia, Ipoh semalam.

Iran muncul juara setelah mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas skuad Malaysia pada perlawanan akhir yang mendebarkan.

Walaupun skuad kebangsaan mempamerkan persembahan mantap, tetapi pengalaman ternyata memberi kelebihan kepada Iran untuk memenangi perlawanan.

Skuad negara mempamerkan permainan bertenaga sejak awal perlawanan dengan banyak mengasak ke kubu Iran.

Hasilnya, Malaysia mendapat gol pertama melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan S. Kuhan pada minit keempat.

Iran hampir menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti pada minit kesembilan, tetapi tolakan Reza Norouzzadeh, tersasar ke penjuru kiri pintu gol Malaysia.

Iran meraih gol penyamaan apabila pukulan sudut penalti Yaghoub Bahrami pada minit ke-12 yang gagal diselamatkan penjaga gol negara, Khairul Affandy Kamaruzaman.

Sebelum separuh masa pertama tamat, Malaysia memperolehi tiga pukulan sudut penalti, tetapi gagal disempurnakan.

Pada babak kedua, Malaysia bekerja keras bagi mengatasi Iran, tetapi benteng pertahanan juara bertahan itu tetap kebal.

Sebaliknya, Iran menambah dua gol berturut-turut melalui Reza Norouzzadeh (m-30) dan Reza Abbasi (m-37).

Malaysia hanya mampu menambah satu gol lagi melalui pukulan sudut pendek Kuhan pada minit ke-39.

Pemain Iran, Reza Norouzzadeh diisytiharkan sebagai Penjaring Terbanyak kejohanan dengan 17 gol.

Ketua pasukannya, Mohd. Mehdi Malek Ahmadi dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Pemain negara, S. Kuhan dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan dan penjaga gol Uzbekistan, Marsel Askarov dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik.

Sementara itu, Uzbekistan menduduki tempat ketiga setelah menumpaskan Pakistan 2 - 0 melalui jaringan Ruslan Satlikov (m-14) dan Azizbek Ergasher (m-35).

Thailand pula di tempat kelima setelah membelasah Kazakhstan 7 - 0. Sultan Perak, Raja Azlan Shah menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...