Powered by Blogger.

Sunday, December 18, 2011

INSENTIF BAKAR SEMANGAT PEMAIN



KUALA LUMPUR - Skuad hoki kebangsaan mendapat suntikan semangat menjelang saingan kelayakan Olimpik di Dublin, Ireland, Februari depan, apabila mereka menerima 'bonus' akhir tahun daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam.

Bonus yang dimaksudkan ialah insentif bagi kejayaan Malaysia pada saingan Kejohanan Hoki Cabaran Juara-Juara di Johannesburg, Afrika Selatan awal bulan ini.

Ganjaran keseluruhan berjumlah RM108,000 diperuntukkan MHC untuk dikongsi kesemua pemain, jurulatih dan pegawai yang terlibat dan satu majlis penyampaian ringkas yang dilangsungkan seiring dengan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Hotel Royale Chulan di sini, semalam.

Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menyempurnakan majlis itu berkata, setiap anggota pasukan berhak menikmati insentif tersebut kerana masing-masing telah memberikan yang terbaik di Afrika Selatan tempoh hari.
"Kejayaan meraih tangga kelima Cabaran Juara-Juara telah memberi kesan positif kepada kedudukan ranking dunia, melonjak ke tangga ke-13 dari ke-14 sebelum ini.

"Saya mengharapkan skuad negara selepas ini mencapai pula sasaran seterusnya iaitu layak ke Olimpik," katanya.
Di Johannesburg, pasukan bimbingan Tai Beng Hai bangkit daripada diaibkan pada tangga tercorot Kumpulan B untuk menduduki tempat kelima selepas menewaskan Jepun 2-1 dan Poland 3-0.

Menghuni ranking ke-13 pada penghujung tahun itu merupakan kedudukan tertinggi diraih skuad hoki Malaysia sejak 2005.
Terdahulu, Tengku Abdullah mempengerusikan EGM yang menyaksikan agenda utamanya ialah membubarkan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dengan aktiviti hoki kebangsaan akan diambil alih sepenuhnya MHC bermula 1 Januari 2012.

MHC ialah penyatuan dua badan pentadbir iaitu PHM dan Persatuan Hoki Wanita Malaysia (MWHA) yang sudah pun ditubuhkan sejak 2002, namun namanya sekadar wujud di atas kertas.
Namun, kini setelah lapan tahun, MHC akhirnya berjaya memenuhi segala kehendak Persekutuan Hoki Antarabangsa (IHF) dan diiktiraf.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...