Powered by Blogger.

Saturday, January 21, 2012

TUJUH PASUKAN SERTAI PIALA SULTAN AZLAN SHAH



TUJUH pasukan sudah mengesahkan kehadiran mereka untuk beraksi pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah dijadual berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak pada 24 Mei sehingga 3 Jun ini.

Namun sedikit mengecewakan apabila pasukan gergasi Australia yang muncul pasukan paling banyak menjulang piala berprestij itu iaitu sebanyak enam kali termasuk tahun lalu tidak akan mempertahankan kemenangan mereka kerana mempunyai komitmen lain.


Begitupun, kecuali skuad negara, enam pasukan lain yang hadir pada edisi ke-21 ini adalah pasukan yang menduduki kelompok 10 terbaik dunia iaitu Britain (4), Korea (6), New Zealand (7), Pakistan (8), Argentina (9) dan juara lima kali, India (10).



Ketiadaan pasukan nombor satu dunia itu bermakna, peluang untuk semua pasukan menjulang piala itu lebih cerah, terutama skuad negara yang tidak pernah memenangi kejohanan ini dengan keputusan terbaik muncul naib juara pada edisi 1985 dan 2007.


“Seperti tahun lalu, kami sekali lagi berjaya menarik minat pasukan berkualiti untuk bertanding di kejohanan ini. Tanpa Australia, kami masih mengekalkan kualiti dan prestij kejohanan ini.



“Kehadiran pasukan bertaraf dunia satu perkembangan yang bagus untuk skuad negara kerana mereka bakal melalui perlawanan berkualiti,” kata Setiausaha Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Maninderjit Singh.



Maninderjit berkata, satu perkara lagi yang menarik pada edisi kali ini ialah semua pasukan akan merasai beraksi di permukaan padang baru berwarna biru, sama seperti yang disediakan di Sukan Olimpik London.


“Saya pasti setiap pasukan terutama yang layak beraksi di Sukan Olimpik akan menggunakan kesempatan ini untuk menyesuaikan diri di permukaan baru sebelum beraksi di Sukan Olimpik,” katanya yang turut memberitahu akan menghantar draf jadual perlawanan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada minggu depan.



Tahun lalu, Australia muncul juara selepas menewaskan Pakistan manakala Britain menduduki tempat ketiga.

SUMBER : MYMETRO




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...