MALAYSIA merakamkan kemenangan ketiga berturut-turut pada kempen kelayakan Olimpik di Dublin dengan menumpaskan pasukan bukan pilihan Ukraine 5-1, malam semalam.
Namun, keputusan itu tidak seperti dijangkakan tatkala peminat mengharapkan jaringan lebih besar dilakukan apa lagi pasukan di ranking ke-29 dunia itu pernah diratah 8-2 oleh Korea Selatan dan 12-0 oleh Ireland pada pertemuan sebelum ini. Dan kemenangan itu pasti bekalan sukar kepada skuad negara tatkala bakal bertemu pasukan pilihan utama Korea Selatan, esok sebelum bertemu Ireland selaku tuan rumah buat mengakhiri cabaran peringkat kumpulan.
Anak didik Tai Beng Hai tampak kurang menyerlah seawal wisel dibunyikan dengan melakukan kesilapan ketika di depan gawang lawan sebelum jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-26.
Skuad negara mula menemui semula rentak penyudah tiga minit sebelum tamat babak pertama apabila Hafifihafiz Hanafi melunaskan gol ketiga peribadinya sepanjang di Dublin buat menjarakkan defisit jaringan gol dengan pasukan di ranking ke-29 dunia itu.
Bersambung di babak kedua, Malaysia terus memburu jaringan dan Muhamad Razie Abd Rahim selaku kapten melunaskan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-48 sebelum dihukum anak buah Pavlo Mazur pada minit ke-57 untuk jaringan tunggal mereka.
Namun, pemain senior, Muhamad Amin Rahim terus menjarakkan kedudukan pada minit ke-60 untuk menghasilkan gol keempat sebelum Mohd Shukri Mutalib meledak pukulan penalti stroke pada minit ke-68 selepas Tengku Ahmad Tajuddin dijatuhkan lawan.
SUMBER : BHARIAN
1 comments:
wahhhh tahniah Malaysia!!! Go Malysia Go!!!
Post a Comment