Powered by Blogger.

Saturday, March 17, 2012

MALAYSIA GALAS MISI HIDUP MATI



PERTEMUAN menentang tuan rumah, Ireland lewat malam ini menjadi misi hidup dan mati skuad hoki lelaki negara menempah tiket ke Sukan Olimpik 2012 London selepas penampilan terakhir pada Olimpik Sydney 2000. Korea Selatan yang kini mengumpul 10 mata, dijangka tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Russia bagi mendapat tempat ke final sementara lawannya, akan ditentukan menerusi perlawanan Malaysia-Ireland. 

Skuad negara yang berada di tangga ketiga liga dengan sembilan mata, perlu mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan itu sementara Ireland yang kini mendahului kedudukan dengan 10 mata, hanya memerlukan seri untuk menempah tempat ke final. 
Namun anak buah Tai Beng Hai juga dilihat tidak memiliki kelebihan psikologi kerana tunduk kepada Ireland 1-2 pada separuh akhir Cabaran Juara-Juara 2009 yang diadakan di Ireland pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan. 

Namun bersandarkan ranking dunia, Malaysia yang terlepas penyertaan dua edisi Sukan Olimpik pada Athens 2004 dan Beijing 2008, harus mendapat sedikit kelebihan untuk meraih kemenangan kerana berada di ranking ke-13 berbanding Ireland (16). 

“Ireland adalah sebuah pasukan yang kuat dan mereka mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri. Bagaimanapun kami akan bermain untuk menang dan akan melakukan yang terbaik,” kata Beng Hai. 
Lawan yang dibantu penolong jurulatih, Arul Selvaraj, begitupun dijangka mempunyai kelebihan apabila bekas penolong jurulatih Malaysia itu sudah biasa dengan sistem dan taktik permainan skuad kebangsaan. 

“Ini adalah pertemuan kedua dalam perlawanan besar antara Ireland-Malaysia dan saya rasa lebih sukar daripada segi emosi berbanding 2009 dulu kerana saya membimbing majoriti pemain Malaysia ketika itu. 

“Selepas lima tahun berada di Ireland, ada lima pemain saja yang pernah saya bimbing dan masih berada dalam skuad Malaysia,” kata Arul.






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...