Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mencipta hatrik apabila mengulangi kejuaraan buat kali ketiga selepas menewaskan pasukan Tenaga Nasional Bhd (TNB) 3-0 pada perlawanan akhir Piala TNB 2012 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Perlawanan akhir itu yang pada awalnya dijadualkan bermula pada pukul 8.30 malam terpaksa ditangguhkan hampir satu jam akibat hujan lebat.
Juara Liga Hoki Malaysia 2010 dan 2011 itu meraih gol pertama menerusi jaringan padang oleh penyerang, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil seawal minit ke-11.
Dua minit kemudian, KLHC mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua menerusi Ismail Abu, juga menerusi jaringan gol padang.
KLHC terus mendominasi perlawanan dan menambah tekanan kepada TNB dengan jaringan gol padang ketiga mereka menerusi Muhammad Amerullah Abdul Aziz, seminit sebelum rehat.
Namun selepas rehat, kedua-dua pasukan masing-masing gagal menghasilkan jaringan dan lebih banyak bertahan.
Dengan kemenangan itu, KLHC membawa pulang tropi juara keseluruhan dan hadiah wang tunai RM60,000, sementara pemain pasukan itu, Ahmad Kazamirul Nasruddin telah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Selaku naib juara, TNB membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM40,000.
Dalam pada itu perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat menyaksikan Maybank dan Sapura masing-masing berkongsi tempat ketiga buat pertama kali selepas terikat 2-2 pada perlawanan yang terpaksa dihentikan pada minit ke-58 akibat hujan lebat.
SUMBER : STADIUM ARENA
1 comments:
Tiga tahun berturut menang...mmg power KLHC...
Hotel Dibina Atas Pokok
Post a Comment