Powered by Blogger.

Sunday, October 7, 2012

TERENGGANU SASAR JUARAI HOKI PIALA RAZAK 2012


TIGA pemain senior adalah antara 16 pemain disenaraikan Persatuan Hoki Terengganu (PHT) bagi membawa cabaran Terengganu pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Kuantan, Pahang dari 14 hingga 23 Oktober ini.
Setiausaha PHT Sabri Salleh berkata tiga pemain senior yang akan memperkuatkan pasukan Terengganu dalam memburu kejuaraan pertama pada kejohanan itu ialah Mohd Sharun Nabil Abdullah, Shahrin Mohamad dan Engku Abdul Malik Engku Mohamad.
"Pemain selebihnya terdiri daripada muka baru yang mewakili Terengganu dalam acara hoki pada Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang Julai lepas," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ketika ini, kebanyakan pemain Terengganu menyertai Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) dengan mewakili beberapa pasukan, antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sapura, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).
Katanya Terengganu mempunyai peluang cerah merangkul kejuaraan sulung pada kejohanan tersebut berdasarkan prestasi semasa pemain dalam kejohanan LHM.
Beliau, bagaimanapun berkata PHT sedikit terkilan kerana tidak dapat mengumpulkan semua pemain menjalani pusat bagi menghadapi kejohanan itu kerana masing-masing terikat dengan kejohanan LHM.
"Kita mungkin dapat kumpulkan mereka di Kuantan pada 12 Oktober selepas perlawanan akhir kejohanan LHM yang dijadualkan pada 10 Oktober," katanya.
Terengganu menamatkan cabaran pada kejohanan tersebut tahun lepas di tempat ketiga dan ia merupakan pencapaian terbaik pasukan itu dalam penyertaan mereka pada Piala Tun Razak.
Sabri berkata Piala Tun Razak tahun ini juga akan menjadi pentas mengenal pasti pemain bagi mewakili pasukan hoki dari Terengganu yang akan ditubuhkan tahun depan untuk bersaing dalam kejohanan LHM.
Pada Piala Tun Razak kali ini, beliau berkata, pasukan Terengganu akan dibimbing oleh jurulatih Nik Rozimi Nik Mohamad. - Bernama



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...