Powered by Blogger.

Thursday, May 16, 2013

HOKI MASUM : UPM JUARA DIV 1, UIAM JUARA DIV 2

Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai juara Liga Hoki Lelaki MASUM Divisyen 1 2013 apabila menundukkan pencabar terdekat mereka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) 5-4 dalam perlawanan terakhir musim ini di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

UiTM yang mendahului carta sebelum perlawanan tersebut hanya memerlukan keputusan seri sahaja untuk muncul sebagai juara liga berdasarkan kepada perbezaan gol yang besar. Tugas itu nampak mudah apabila mereka berjaya mendahului seawal minit ke-5 melalui gol yang terhasil melalui pukulan sudut penalti, Mohd Zulhairi Hashim.
Namun UPM terus mempamerkan semangat juang yang tinggi dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-23 melalui jaringan padang, Muhammad Razie Abdul Rahim. Tiga minit kemudian mereka mendahului buat kali pertama apabila Razie sekali lagi menewaskan penjaga gol UiTM, Mohd Shahril Mohd Arshad.
Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Adam Ahmad Mokhzan menyamakan kedudukan tiga minit kemudian melalui satu lagi gerakan sudut penalti. Kedudukan 2-2 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Dua jaringan sudut penalti oleh Razie dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil dalam lima belas pertama separuh masa kedua menyaksikan UPM menjarakkan diri mereka dari UiTM. Jaringan tersebut menyaksikan Razie melengkapkan ‘hat-trick’nya. Namun Adam berjaya merapatkan kembali jarak tersebut pada minit ke-54, juga melalui gerakan sudut penalti.
UPM kembali mendahului dengan dua gol apabila jaringan padang Muhammad Syaafii Noorzahari menjadikan kedudukan 5-3 dengan perlawanan hanya berbaki tujuh minit. Namun UiTM tidak mahu mengalah dengan mudah dan berjaya menjadikan kedudukan 5-4 apabila Adam turut melengkapkan ‘hat-trick’nya, sekali lagi dengan gerakan sudut penalti.
UiTM kini hanya memerlukan satu gol lagi untuk menyamakan kedudukan dan muncul sebagai juara. Namun UPM berjaya mengekang asakan mereka dan kedudukan 5-4 kekal sehinggalah tamat perlawanan untuk menjuarai Liga Hoki MASUM Divisyen Satu 2013.
Universiti Sains Malaysia (USM) yang sudah mengesahkan tempat ke-3 apabila pencabar mereka Universiti Malaya (UM) hanya mampu menewaskan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan jaringan 3-2, menewaskan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 4-1 dalam perlawanan terdahulu.
Wang tunai sebanyak RM4,000 berserta piala iringan menjadi habuan untuk pasukan UPM selaku juara sementara UiTM pula menerima wang tunai RM2,500 bersama piala iringan. USM pula menerima RM1,000 bersama piala iringan sebagai ganjaran menduduki tempat ke-3.
Hattrick’ Razie dalam perlawanan ini menyaksikan jumlah gol yang dijaringkan di sepanjang kempen liga bertambah kepada 13 semuanya. Ini membolehkan beliau menerima piala iringan serta wang tunai RM100 apabila diumumkan sebagai Penjaring Gol Terbanyak.
Dalam pada itu, harapan penyokong pasukan tuan rumah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk melihat pasukan mereka bergelar juara Liga Hoki MASUM Divisyen Dua tidak kesampaian apabila pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memenangi perlawanan di antara kedua-dua pasukan 4-2 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Dua jaringan sendiri oleh penjaga gol UniSZA, Nursyafiq Farhain pada minit ke-12 dan 23 membolehkan UIAM mendahulu 2-0. Namun dengan sokongan padu para penyokong mereka yang hampir memenuhi stadium, UniSZA berjaya merapatkan kedudukan melalui jaringan sudut penalti, Muhammad Shahiram Zali pada minit ke-33.
Namun enam minit selepas perlawanan separuh masa kedua bermula, UIAM kembali menjarakkan semula diri mereka apabila Muhammad Hisyam Hasyim mengambil peluang di atas kesilapan pertahanan pemain pertahanan UniSZA di dalam kawasan ‘D’ untuk menewaskan Nursyafiq dari jarak dekat.
Kedudukan itu hanya bertahan selama dua minit apabila Shahiram kembali merapatkan kedudukan kepada 3-2 apabila beliau berjaya menyempurnakan satu gerakan sudut penalti. Anak-anak buah Mohd Faizal Ismail cuba untuk mencari gol penyamaan dengan beberapa gerakan.
Namun dalam keghairahan UniSZA menyerang, UIAM berjaya menambah jaringan mereka melalui satu lagi gerakan sudut penalti yang menyaksikan Mohammad Safwan Omar menguis bola melepasi jangkauan Nursyafiq untuk menjadikan kedudukan 4-2 yang kekal sehingga tamat perlawanan.
Selaku juara UIAM menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 bersama piala iringan. Naib juara, UniSZA menerima wang tunai RM1,000 bersama piala iringan. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkongsi tempat ke-3 dan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM200.
Persembahan cemerlang penjaring gol kemenangan untuk UIAM, Mohammad Safwan pula menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir. Tujuh gol jaringannya untuk UTHM membolehkan Mohd Syamim Rosle muncul sebagai Penjaring Terbanyak kejohanan sementara Nursyafiq pula dianugerahkan gelaran Penjaga Gol Terbaik Kejohanan.
Ihsan berita dan gambar : duniasukan.com

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...