Powered by Blogger.

Tuesday, December 10, 2013

MALAYSIA BENAM ENGLAND 4-2


Malaysia mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan setelah menumbangkan England 4-2 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Dunia Remaja di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi, India, semalam.

Sekalipun telah menempah laluan ke suku akhir lebih awal, skuad bimbingan jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah itu tetap turun untuk memburu misi kemenangan bagi mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam saingan kumpulan.

Berbekalkan dua kemenangan pada perlawanan terdahulu, barisan pemain remaja negara mempamerkan permainan yang cukup menyakinkan untuk mendominasi aksi babak pertama menerusi serangan bertali arus ke dalam kawasan England. Usaha keras mereka itu akhirnya membuahkan hasil apabila gol sulung Malaysia berjaya dijelmakan menerusi Mohd. Zulhairi Hashim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-15 untuk menewaskan penjaga gol England, Harry Gibson.

Jaringan kedua skuad remaja negara menyusul 11 minit berikut, apabila penyerang, Firhan Ashari berjaya melakukan tindakan penyudah yang kemas melalui gol padang bagi meletakkan kedudukan Malaysia mendahului dengan kedudukan 2-0.

Bagaimanapun, England tidak mudah berputus asa apabila berjaya merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti yang dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Luke Taylor pada minit ke-31.Kedudukan kekal 2-1 sehingga separuh masa pertama berakhir.

Sebaik babak kedua bermula, England yang terdesak untuk mencari mata penuh dalam perlawanan tersebut memperkemaskan corak permainan bagi memburu gol penyamaan. Namun, malangnya keasyikan mereka menggempur kubu Malaysia membawa padah setelah sekali lagi benteng pertahanan England bolos dan kali ini, giliran Muhammad Rashid Baharom menyempurnakan gol padang pada minit ke-44 bagi melebarkan kedudukan kepada 3-1.

Kapten, Fitri Saari memastikan pasukan kebangsaan berada dalam kedudukan selesa apabila dia yang melakukan gerakan solo berjaya merembat bola ke gawang untuk gol keempat pada minit ke-57. England memperoleh gol kedua hasil pukulan sudut penalti yang diambil oleh Phil Roper untuk menjadikan kedudukan 4-2 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat permainan.

Muhammad Dharma berkata, dia sama sekali tidak menduga anak-anak buahnya berjaya mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam saingan kumpulan.

"Saya gembira dengan aksi para pemain saya. Saingan di suku akhir yang menanti mereka pasti lebih getir kerana lawan yang bakal kami jumpa terdiri daripada pasukan yang hebat, manakala Malaysia hanya pasukan kerdil yang berjaya melangkah sehingga ke tahap ini," katanya.

Sebagai juara kumpulan, Malaysia bakal bertemu naib juara Kumpulan C iaitu sama ada pasukan India atau pun Korea Selatan yang akan menentukan peluang mereka ke suku akhir pada hari ini.







TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...