Powered by Blogger.

Wednesday, December 18, 2013

SKUAD HOKI REMAJA JADI ASAS PEMBENTUKAN SKUAD LEBIH MANTAP


Pencapaian skuad negara pada Hoki Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi, India akan dijadikan asas dalam membentuk skuad hoki kebangsaan yang lebih mantap pada masa depan. 


Justeru, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berharap Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan meneruskan program pembangunan pemain pelapisnya. 


"Pencapaian mereka menjadi asas untuk kita membina pasukan kebangsaan yang akan datang. Ada juga di antara pemain skuad ini pernah bermain dalam skuad kebangsaan (skuad senior)," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan skuad hoki remaja kebangsaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini. 




Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah itu tiba pada 5 pagi tadi dan disambut wakil MHC, Majlis Sukan Negara (MSN) serta anggota keluarga pemain. 



Ditanya bentuk ganjaran yang akan diberikan kepada skuad negara yang berjaya menduduki tempat keempat pada kejohanan dunia itu, Khairy Jamaluddin berkata Kementerian Belia dan Sukan akan berbincang dengan MSN dan MHC mengenainya. 



"Sudah pasti kita akan pertimbangkan sesuatu yang istimewa buat mereka. Ini kerana pencapaian mereka bukanlah hanya di peringkat Asia Tenggara atau benua Asia tetapi ini adalah pencapaian di peringkat dunia. 



"Saya juga berharap seluruh rakyat di Malaysia mengiktiraf pemain-pemain hoki remaja kita sebab bukan mudah untuk kita mencapai kedudukan seperti ini," katanya. 
Skuad remaja kebangsaan menamatkan saingan Hoki Piala Dunia Remaja di tempat keempat selepas tewas kepada Belanda 7-2 pada perlawanan penentuan tempat ketiga kelmarin. 



Prestasi skuad 'Projek 2013" itu melepasi sasaran MHC yang menyasarkan kedudukan keenam terbaik pada kejohanan berkenaan. 



Kejayaan itu menyamai pencapaian Malaysia dalam kejohanan sama pada 1979, 1982 dan 1985. 



Mengenai kontrak Muhammad Dharma Raj selaku pengendali skuad remaja lelaki kebangsaan yang akan tamat hujung tahun ini, Khairy Jamaluddin berkata: "Pencapaian Muhammad Dharma Raj telah membuktikan dengan sendirinya. 



"Tidak perlulah kita mengulas atau memberi komen yang panjang lebar kerana saya rasa pencapaian dicapainya itu 'sudah cukup jelas'. Jika MHC berkenan, saya yakin bahawa pencapaian beliau boleh diteruskan lagi." 

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...