Powered by Blogger.

Thursday, December 12, 2013

MALAYSIA PERLU RANTAI PEMAIN KOREA

Skuad kebangsaan harus berusaha merantai pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan pada aksi suku akhir Piala Dunia Remaja 2013, hari ini andai mengimpikan slot ke separuh akhir kejohanan di New Delhi, India itu.

Korea Selatan yang layak ke suku akhir atas tiket selaku naib juara Kumpulan C memiliki pakar pukulan sudut penalti hebat seperti You Seungju.

Ketika ini You Seungju yang menyarung jersi No. 3 adalah penjaring terbanyak pada Piala Dunia Remaja 2013 dengan tujuh gol yang kesemuanya dijaringkan hasil pukulan sudut penalti.

Pengurus skuad remaja kebangsaan, Mirnawan Nawawi turut mengakui, pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan itu boleh dianggap sebagai ancaman utama skuad negara dan perlu diberikan perhatian serius oleh Malaysia pada aksi suku akhir.

"Kita akan bermain seperti biasa pada aksi suku akhir dan dalam masa sama juga perlu berhati-hati dengan pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan kerana itu adalah kelebihan yang dimiliki pasukan lawan.

"Saya percaya mereka (Korea Selatan) adalah pasukan yang bagus memandangkan mereka berjaya melangkah ke peringkat ini.

"Saya juga menjangkakan aksi Malaysia menentang Korea Selatan akan berlangsung sengit kerana pada peringkat ini semua pasukan akan mempamerkan kekuatan sebenar mereka," kata Mirnawan kepada Utusan Malaysia, semalam.

Malaysia melangkah ke saingan suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua tiga saingan peringkat kumpulan yang berlangsung.

Pencapaian terbaik Malaysia pada aksi Piala Dunia Remaja ialah meraih tempat keempat keseluruhan pada 1979, 1982 dan 1985.

Sementara itu, Mirnawan berharap dua pakar pukulan sudut penalti skuad remaja kebangsaan, Muhammad Shahril Saabah dan Mohd. Zulhairi Hashim mampu menjaringkan gol pada aksi menentang Korea Selatan.

"Setakat ini saya puas hati dengan kualiti penyudah pasukan berikutan masih berupaya mendapatkan jaringan menerusi gol padang dan pukulan sudut penalti.

"Selain memiliki dua pakar pukulan sudut penalti kami juga mempunyai penyerang yang konsisten menyumbang gol seperti Muhammad Firhan Ashaari," kata Mirnawan.

Sumber : UTUSAN




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...