Powered by Blogger.

Friday, December 13, 2013

PIALA DUNIA REMAJA : MALAYSIA BERGAYA KE SEPARUH AKHIR

Malaysia hanya selangkah lagi dipisahkan daripada memahat sejarah menaiki podium selepas melangkah ke separuh akhir Piala Dunia Remaja buat kali pertama dalam tempoh 31 tahun di New Delhi, semalam.


Anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah itu menyamai pencapaian terbaik melangkah ke separuh akhir yang kali terakhir dilakukan pada 1982 selepas membenam Korea Selatan 2-1.

Malah, kejayaan itu turut membolehkan Malaysia melepasi sasaran awal yang diletakkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) iaitu menamatkan kempen sekurang-kurangnya dalam kelompok enam terbaik.
Sepanjang sejarah kejohanan, Malaysia pernah dua kali melangkah ke separuh akhir pada 1982 dan 1979, tetapi tidak pernah menaiki podium.

Perancis bakal menjadi halangan utama Malaysia untuk memahat sejarah baharu menduduki kelompok tiga teratas apabila menanti pasukan negara di separuh akhir hari ini.

Semalam, pasukan itu meneruskan siri kejutan di New Delhi apabila menumpaskan juara remaja Eropah, Belgium 5-4 dalam satu lagi saingan suku akhir.


Penyerang, Muhammad Shahril Saabah muncul wira Malaysia apabila meledakkan kedua-dua gol kemenangan pada minit ke-18 dan ke-62, manakala jaringan tunggal Korea diperoleh menerusi pakar pukulan sudut penalti, You Seong-ju pada minit ke-29.

Bagi Muhammad Dharma, kemenangan yang diraih oleh pasukannya adalah satu kejayaan besar buat negara, apatah lagi ia menyamai pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan tersebut.

"Secara emosinya saya bagaikan hilang kata-kata apabila melihat kejayaan ini. Mereka (pemain) telah melaksanakan tugas dengan baik.

"Sebelum perlawanan bermula saya memang jangkakan satu saingan sengit buat Malaysia kerana Korea Selatan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Memang saya akui Korea Selatan tidak memberikan kami laluan mudah pada aksi hari ini (semalam) hingga memerlukan pasukan beraksi di tahap tertinggi," kata Muhammad Dharma.


Katanya lagi, pada aksi separuh akhir, Malaysia yang juga juara Asia tidak boleh memandang mudah keupayaan Perancis kerana pasukan tersebut kini dilihat berada pada tahap terbaik.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan hoki dan Perancis telah membuktikannya apabila berjaya menewaskan pasukan pilihan utama seperti Belgium.

"Saya juga jangkakan kejutan pasti berlaku pada aksi separuh akhir esok (hari ini)," kata Muhammad Dharma. 

Sumber : UTUSAN MALAYSIA



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...