Kali ini, beliau dilihat tidak terlalu mengharap tenaga senior untuk menggalas tugas di Doha, sebaliknya pengendali dari Afrika Selatan itu yang berlepas ke Doha bersama anak buahnya hari ini, sekali lagi melakukan eksperimen dengan memanggil muka-muka baru untuk tugasan di sana.
Ia adalah perjudian yang sebenarnya cukup berisiko tinggi, namun Revington tidak pernah berasa gusar sebaliknya pengendali berusia 39 tahun itu sebelum ini menyatakan, beliau meletakkan kepercayaan tinggi terhadap barisan muka baru yang dipanggil untuk tugasan kali ini.
Antara mereka yang mendapat tempat beraksi di Doha termasuk dua pemain skuad remaja negara, Mohamad Izad Hakimi Jamaluddin dan Mohd Syamim Mohd Yusof yang bakal membuat penampilan pertama untuk skuad negara.
Mohd Syamim berkata, dia begitu terkejut apabila dipanggil Revington kerana tidak pernah menyangka akan mendapat peluang beraksi bersama skuad senior dengan begitu cepat.
“Selama ini saya memang harap dapat beraksi dengan skuad senior tapi tidaklah terlalu mengharap sangat sebab banyak lagi pemain yang lebih bagus berbanding saya.
“Tetapi apabila diberi peluang kali ini, saya tidak akan sia-siakannya begitu saja. Saya akan cuba yang terbaik membantu skuad negara dan terus cuba untuk memastikan jurulatih memilih saya pada saingan akan datang,” katanya.
Di sebalik nama-nama seangkatan dengannya seperti Faizal dan Fitri Saari yang sudah mencipta nama pada pentas antarabangsa, Mohd Syamim juga adalah antara pemain berkualiti yang ada dalam barisan skuad remaja negara.
Dia membantu skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah menjulang Piala Sultan Johor pada edisi pertama tahun lalu selain muncul juara pada saingan Hoki Piala Remaja Asia di Melaka, Mei lalu.
Selain skuad negara yang menduduki tempat ketiga tahun lalu, lima lagi pasukan yang bertanding di Doha termasuk Oman, Pakistan, India, China dan Jepun.
SUMBER : METRO
0 comments:
Post a Comment