Powered by Blogger.

Friday, February 8, 2013

THUNDERBOLTS KEKALKAN KEJUARAAN LIGA HOKI REMAJA MALAYSIA



KUALA LUMPUR - Thunderbolts mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2013 selepas memenangi perlawanan terakhir liga menentang UniKL Young Guns 4-3 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Dalam perlawanan tersebut UniKL terlebih dahulu di depan pada minit keenam menerusi jaringan Mohd. Azrul Hasbullah yang melakukan larian menarik dari tengah padang sebelum memukul bola tepat ke penjuru gawang.

Jaringan tersebut membuatkan Thunderbolts tersentak dan berusaha untuk mencari gol penyamaan, hasilnya mereka berjaya menambah dua gol berturut-turut berpunca dari pukulan sudut penalti pada minit ke-14 dan ke-27.

Gol penyamaan Thunderbolts disempurnakan Azril Misron sebelum Amir Zulkarnain Robangi meletakkan skuad dari Johor itu di depan.

Perlawanan separuh masa pertama menjadi semakin rancak apabila UniKL berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-29, berpunca daripada jaringan sendiri Muhammad Najmi Farizal Jazlan.

Sebelum rehat, Thunderbolts berjaya menambah gol ketiga mereka menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Azril untuk gol kedua peribadinya, menjadikan kedudukan Thunderbolts mendahului 3-2.

Sebaik bermula aksi separuh masa kedua, UniKL tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol penyamaan apabila Mohd. Syafiq Zulzairin berjaya membolosi gawang Thunderbolts pada minit ke-38.

Skuad bimbingan Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman berjaya menjaringkan gol kemenangan empat minit sebelum masa tamat sekali lagi menerusi Amir Zulkarnian untuk membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan serta meraih hadiah wang tunai RM15,000.

Kelab Sukan & Kebudayaan MBPJ menduduki tangga kedua liga dan meraih sebanyak RM10,000 manakala UniKL hanya berpuas hati di kedudukan ketiga seterusnya membawa pulang RM8,000.

sumber : UTUSAN





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...