Kuala Lumpur: Meskipun beraksi dengan 10 pemain, PHK-MSSK Kelantan masih mampu menempah tiket ke final play off Divisyen Dua Liga Hoki Remaja MHC-Milo-NSC apabila menewaskan Politeknik KPT 4-3 menerusi masa tambahan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Menanti di final, Sekolah Sukan Kuala Lumpur (KLSS) yang menewaskan Anderson Juniors 5-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. Melayakkan diri ke final bermakna Kelantan dan KLSS akan menyertai enam pasukan lain dari Divisyen Satu bagi merebut Piala Milo dalam aksi kalah mati dengan undiannya pada Isnin ini.
Pertembungan antara Politeknik KPT dengan Kelantan cukup menarik kerana Politeknik mendahului 2-0 menerusi jaringan Kamarul Ariffin pada minit ke-11 dan Arif Ibrahim, minit ke-28. Namun Kelantan menyamakan kedudukan dengan dua gol yang dijaringkan dalam tempoh tiga minit menerusi Shahrul Akhimullah dan Fitri Zaidi, minit ke-32 dan 35 untuk menjadikan babak pertama berkesudahan 2-2.
Separuh masa kedua bersambung, Kelantan di depan menerusi jaringan Fitri pada minit ke-49, namun mereka dikejutkan dengan keputusan pengadil menghukum Muhammad Ashraf Mohd Noor pada minit ke-51.
Politeknik tidak mensia-siakan peluang, menjaringkan gol penyamaan menerusi percubaan Kamarul pada minit ke-55 untuk menjadikan kedudukan 3-3, sekali gus menyebabkan perlawanan terpaksa diteruskan ke masa tambahan.
Dua minit memasuki babak pertama masa tambahan, Kelantan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ashraf dilayangkan kad merah dan dibuang padang. Begitupun, pasukan itu menempah tempat ke final selepas Muhammad Saufian Othman menyempurnakan sudut penalti pada minit ke-82 untuk membolosi gawang Politeknik.
Ketika perlawanan Kelantan-Politeknik berlangsung sengit, KLSS pula mudah menang ke atas Anderson 5-1. KLSS memperoleh jaringan menerusi Nur Faiz Rosli (m-4 dan 46), Jagveen Singh (34), Adib Zahiruddin (42), Zulhazwan Hashim (55) manakala gol sagu hati Anderson dijaringkan Najme Ahmad (60).
sumber : MY METRO
0 comments:
Post a Comment