Powered by Blogger.

Wednesday, November 9, 2011

PIALA SULTAN JOHOR : MALAYSIA TEWASKAN KOREA SELATAN 4-2


Malaysia mencerahkan laluan ke pentas akhir Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Piala Sultan Johor 2011 apabila menewaskan Korea Selatan 4-2 di Stadium Hoki Taman Daya di sini, semalam.

Skuad kendalian Mohd. Dharma Raj Abdullah bermula dengan garang membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi kapten pasukan, Muhammad Noor Faeez Ibrahim yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Korea Selatan bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi You Seung Ju sebelum Shazrul Imran Nazli meletakkan Malaysia kembali di depan seminit kemudian dan kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Malaysia terus melebarkan jurang gol pada separuh masa kedua menerusi Muhamad Ramadan Rosli pada minit ke-40 tetapi pemain nombor 20 skuad korea Selatan, Seung Ju kembali merapatkan kedudukan empat minit kemudian sebelum Norhizzat Sumantri melengkapkan kemenangan Malaysia pada minit ke-67.

Jurulatih Malaysia, Mohd. Dharma menyifatkan kemenangan itu sebagai pembakar semangat untuk anak buahnya meneruskan perjuangan baki dua perlawanan menentang Pakistan dan India.

"Pada perlawanan kali ini kami memang mencari gol awal untuk menaikkan semangat pemain meskipun menerima tentangan sengit, saya gembira kerana kami berjaya meraih tiga mata selepas hanya memperoleh satu mata daripada dua perlawanan terdahulu.
"Selepas ini kami perlu mengalahkan Pakistan dan India bagi menempatkan diri di pentas akhir kejohanan ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tersebut.


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...