IPOH - Peristiwa pahit kecundang pada kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Mac lalu mahu ditebus barisan skuad hoki negara apabila membuka tirai Piala Sultan Azlan Shah 2012 menentang Korea Selatan di sini, malam ini.
Jurulatih, Tai Beng Hai berkata, itu adalah azam anak-anak buahnya yang akan berusaha mendapatkan mata pertama pada perlawanan tersebut.
Sebelum ini, Korea Selatan meranapkan impian Malaysia untuk ke Sukan Olimpik London, 2012 apabila menundukkan skuad bimbingan Beng Hai 3-2 pada perlawanan kelayakan di Dublin.
"Walaupun Korea berada pada ranking yang lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi prestasi kedua-dua pasukan seimbang," kata Beng Hai.
Berdasar catatan terbaru Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Korea berada di ranking keenam dunia dan Malaysia berada di tangga 13.
Malah, Beng Hai percaya pemain yang ada mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan lawan jika mereka beraksi dengan lebih berhati-hati dan bersemangat.
Beng Hai yang dibantu oleh Nor Saiful Zaini akan menggandingkan pemain remaja dan senior dalam usaha membentuk pasukan yang mantap.
Kejohanan edisi ke-21 itu akan disertai oleh tujuh negara iaitu New Zealand, Pakistan, Argentina, India, Korea, Great Britain dan Malaysia.
Selepas itu, enam buah negara tersebut kecuali Malaysia akan beraksi pada Sukan Olimpik 2012, 27 Julai ini.
0 comments:
Post a Comment