Malaysia tidak seharusnya mengulangi igauan buruk 20 tahun lalu ketika tunduk kepada Pakistan pada penentuan juara Piala Remaja Asia 1992 apabila kedua-duanya kembali membuat perhitungan di pentas akhir edisi 2012, hari ini.
Peristiwa hitam tewas 1-2 kepada Pakistan ketika itu seharusnya menjadi suntikan semangat buat skuad projek 2013 didikan jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah untuk dinobatkan selaku juara.
Ini kerana skuad negara belum pernah mendakap gelaran juara Piala Remaja Asia berbanding lawannya Pakistan yang akan ditemui pada babak akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit malam ini.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melaungkan keyakinan barisan pemain skuad projek 2013 mampu menunaikan janji menewaskan Pakistan.
''Saya tidak sangsi dengan keupayaan dan semangat kental pemain sejak dari pusingan awal. Melihat aksi mantap mereka saya mempunyai keyakinan mereka boleh menewaskan Pakistan.
''Igauan buruk 1992 harus pemain lenyapkan. Inilah masa terbaik untuk mereka membuktikan keupayaan sebenar. Bukan saya tetapi peminat hoki negara amat dahagakan kejayaan bergelar juara," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam meraikan pemain dan pegawai kejohanan Hoki Piala Remaja Asia Ketujuh anjuran kerajaan negeri di Hotel Rennaisance di sini, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF), Sultan Azlan Shah, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Naib Presiden MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad, Presiden Persatuan Hoki Melaka, Datuk Md. Yunus Husin dan Setiausaha Agung AHF, Tan Sri P. Alagendra.
Pada majlis tersebut Sultan Azlan Shah, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Alagendra menerima Anugerah Khas atas sumbangan membangunkan hoki negara yang telah disampaikan oleh Mohd. Khalil Yaakob.
Mengulas lanjut, Tengku Abdullah berkata, beliau tidak nampak sebarang kekurangan buat skuad projek 2013 kerana mereka telah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan berlangsung.
''Saya mahu Malaysia menjadi juara kerana kita sudah menunggu begitu lama dan kita akan melakar sejarah di bumi Melaka jika muncul juara," ujarnya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Mirnawan Nawawi yang merupakan ketua pasukan negara ketika tewas 1-2 kepada Pakistan 20 tahun lalu menyifatkan barisan pemain negara kali ini jauh lebih bertenaga berbanding dulu.
''Barisan yang mara ke akhir malam ini adalah yang terbaik. Mereka cukup mantap dan bersemangat kental kerana itu saya begitu optimis mereka mampu menyaingi kehebatan Pakistan.
''Saya harapkan mereka dapat memecahkan rekod saya untuk mencipta sejarah menjuarai Kejohanan Remaja Asia buat kali pertama," katanya.
SUMBER : UTUSAN
0 comments:
Post a Comment