Pemain harus mengurangkan kesilapan jika mahu mengekalkan kejuaraan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor yang dimenangi tahun lalu.
Ini ekoran kekalahan 2-5 kepada New Zealand di Stadium Hoki Taman Daya di sini kelmarin.
Kekalahan tersebut berpunca daripada kesukaran barisan Skuad Projek 2013 mengikut rentak permainan pantas pasukan lawan.
Pada aksi kelmarin, New Zealand menyumbat gol sulung pada minit ke-17 menerusi Ben Radovonich. Ketua pasukan negara, Muhammad Noor Faeez Ibrahim meletakkan Malaysia di hadapan menerusi pukulan penalti minit ke-22 dan pukulan sudut penalti selang dua minit kemudian.
New Zealand bangkit dengan dua gol sebelum rehat menerusi Parker Brennan Alexander minit ke-30 dan Ben pada minit ke-35.
New Zealand terus cemerlang pada babak kedua dengan menambah dua gol pada minit ke-46 oleh Kane Russell dan pukulan padang Michael Ritchie pada minit ke-52.
Jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah mengakui anak buahnya sukar mengimbangi permainan pantas New Zealand selain melakukan beberapa kesilapan.
"Ketinggalan 2-4 pada minit ke-47 sedikit sebanyak menggoyahkan permainan pasukan negara hingga menyebabkan mereka bermain mengikut emosi dan berada di bawah tekanan.
"Namun, kita harus menerima kekalahan ini secara positif kerana tidak mahu ia memberi tekanan kepada para pemain untuk mengharungi perlawanan seterusnya," katanya.
Menurut Muhammad Dharma Raj, perlawanan menentang Australia hari ini pasti sengit apatah lagi kedua-dua pasukan kini mengumpul tiga mata dan kalah satu perlawanan.
"Kita harus kurang melakukan kesilapan sekiranya mahu menang perlawanan itu nanti," katanya.
Australia tewas kepada Malaysia 2-3 pada perlawanan akhir kejohanan tahun lalu.
sumber : UTUSAN
0 comments:
Post a Comment