Powered by Blogger.

Sunday, November 18, 2012

PIALA SULTAN JOHOR : MALAYSIA IKAT INDIA 3-3



Malaysia mempamerkan aksi menarik apabila mengikat India 3-3 pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2012 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini semalam.

Namun keputusan itu tidak mengubah kedudukan Skuad Projek 2013 yang terus menghuni tangga tercorot kejohanan, sekali gus menidakkan impian untuk beraksi dalam perlawanan klasifikasi merebut tempat ketiga.

Mengulas mengenai perlawanan semalam, jurulatih Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, para pemain mempamerkan persembahan terbaik, apabila bangkit untuk mencipta keputusan seri.

"Kita harus menerima keputusan ini dengan hati terbuka sekurang-kurangnya ia dapat mengubat kedukaan selepas tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini.

"Pada perlawanan esok (hari ini) kita terus berusaha untuk mencipta kemenangan bagi menduduki tempat kelima kejohanan," katanya.

Perlawanan Malaysia dan India tertangguh selama dua jam akibat hujan lebat namun itu tidak menjejaskan rentak permainan mereka yang tetap bersungguh-sungguh mencari gol awal.

India hampir membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Akashdeep Singh yang berjaya menyambut hantaran kemas rakan sepasukan Prabhdeep Singh di dalam kawasan D namun sempat diselamatkan penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman.

Meskipun memperolehi tiga pukulan sudut penalti pada minit ke-16 tetapi India gagal memanfaatkan peluang tersebut bagi mencipta jaringan akibat kekentalan benteng pertahanan menafikan setiap percubaan mereka.
Benteng pertahanan negara yang pada mulanya ampuh akhirnya dibolosi pada minit ke-19 apabila Akashdeep Singh yang tidak dikawal kemas berjaya menolak masuk tolakan kemas Mandeep Singh.

India terus menambah jaringan pada minit ke-26 menerusi pukulan sudut penalti Gagandeep Singh yang menuju tepat ke penjuru kiri pintu gol negara.

Ketika separuh masa pertama berbaki tujuh minit, Muhammad Noor Faeez Ibrahim berjaya menjadikan kedudukan 2-1 selepas berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti tetapi kemudian terpaksa diusung keluar akibat mengalami kecederaan.

Pasukan negara bangkit semula menyamakan kedudukan pada minit ke-45 apabila Muhammad Firhan Ashari berjaya menolak bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol Sushant Tirkey.
India terus mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya mencipta satu lagi jaringan pada minit ke-58 menerusi Gumail Singh yang menolak masuk bola hasil hantaran Prabhdeep bagi.
Ketika perlawanan berbaki dua minit, Muhammad Noor Faeez muncul penyelamat maruah negara apabila berjaya menyamakan kedudukan bagi mengikat keputusan seri 3-3.

Sumber : UTUSAN




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...