Powered by Blogger.

Monday, November 19, 2012

SKUAD HOKI REMAJA MALAYSIA PERLU FOKUS PIALA DUNIA REMAJA 2013


JURULATIH skuad hoki bawah 21 tahun negara Muhammad Dharma Raj Abdullah berharap anak buahnya tidak patah semangat selepas mencatat keputusan mengecewakan pada Piala Sultan Johor yang berakhir semalam.

Beliau berkata, setiap pemain perlu bangkit dan memberi fokus sepenuhnya  dalam menghadapi kejohanan lebih besar iaitu Piala Dunia Remaja 2013 yang
dijadual berlangsung di India dari 5 hingga 16 Disember.

Menyedari masih banyak ruang yang perlu diperbaiki skuad itu setelah menduduki tangga tercorot pada Piala Sultan Johor, beliau berkata skuad itu akan
terus menjalani latihan termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi menghadapi Piala Dunia Remaja.

"Pada 13 Disember ini, kita akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Universiti Sukan Kebangsaan Korea Selatan (KNSU) di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata skuad negara juga akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Bhopal, India bermula 15 Disember.

Muhammad Dharma Raj berkata skuad remaja negara turut dijadual mengadakan aksi persahabatan menentang skuad remaja Kanada pada Januari depan dan skuad remaja Australia pada Mei.

Mengenai pencapaian skuad remaja negara pada Piala Sultan Johor, beliau berkata sikap anak buahnya yang terlalu yakin telah memakan diri sehingga gagal mempertahankan piala itu.

"Skuad kita di tangga tercorot bukan kerana mereka tidak cukup bagus, hal ini terjadi kerana sikap terlalu yakin dapat mengalahkan pihak lawan menyebabkan mereka kecundang.

"Tidak salah untuk mempunyai keyakinan yang tinggi dalam sesuatu perlawanan tetapi jangan terlalu yakin sehingga memberi keputusan negatif kepada kita," katanya.

Muhammad Dharma Raj berharap prestasi mengecewakan itu menjadi pengajaran kepada skuad remaja negara untuk terus berusaha dan tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan pada kejohanan akan datang. - Bernama




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...