Powered by Blogger.

Saturday, November 17, 2012

MALAYSIA INTAI TEMPAT KE TIGA


Selepas gagal menempatkan diri ke pentas final untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu, skuad Projek 2013 kini memburu tempat ketiga pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2012.

Meskipun bakal berdepan cabaran getir India, pasukan yang sudah mengesahkan tiket final hari ini, namun skuad muda negara tetap optimis mampu menempatkan diri pada kedudukan tiga terbaik dalam edisi kedua kejohanan di Stadium Hoki Taman Daya, di sini.

Pengurus pasukan, Mirnawan Nawawi berkata, kegagalan untuk mempertahankan gelaran menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki bagi meneruskan saingan.

Beliau berkata, pertemuan dengan Pakistan kelmarin menunjukkan anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah mengawal permainan dan memperoleh banyak peluang, termasuk beberapa pukulan sudut penalti, namun gagal manfaatkannya. Sebaliknya, Pakistan, yang dikendalikan Rana Mujahid Ali menggunakan serangan balas pantas untuk mencipta kemenangan.

"Dalam sesuatu pertandingan tidak semua yang dirancang akan menjadi tetapi kita masih ada harapan dan akan berusaha mencapai kedudukan setinggi yang boleh pada kejohanan kali ini.

"Perlawanan menentang India, Sabtu ini (hari ini) adalah demi maruah kita. Meskipun ia sukar namun kita percaya skuad negara mampu meraih tiga mata penuh seterusnya membolehkan kita bermain untuk tempat ketiga dan keempat," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan antara Malaysia dan Pakistan, di sini kelmarin.

Pada perlawanan kelmarin, Pakistan membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi Muhammad Dilber yang berjaya menyusup masuk ke kawasan D sebelum melepaskan pukulan deras menewaskan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.

Pakistan menambah derita pasukan negara pada minit ke-39 menerusi gol padang Muhammad Irfan yang berjaya menolak kemas bola hantaran Dilber.

Dalam perkembangan lain, Mirnawan yakin Skuad Projek 2013 itu mampu menggalas misi pada Kejohanan Piala Dunia Remaja di New Delhi, tahun depan kerana masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan dan memantapkan jentera serangan.

sumber : UTUSAN





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...