Powered by Blogger.

Sunday, November 4, 2012

TENGKU ABDULLAH MENANG JAWATAN AHLI LEMBAGA PENGARAH FIH



KUALA LUMPUR - Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah terpilih sebagai ahli Lembaga Pengarah Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) setelah menang dengan majoriti besar pada pemilihan Kongres Dunia FIH Ke-43 di sini, semalam.

Beliau memperoleh 67 undi daripada 84 delegasi yang mengundi pada pemilihan tersebut dan kemenangan itu merupakan kejayaan besar buat Tengku Abdullah yang baru empat tahun meneraju MHC.

Tengku Abdullah yang terkejut dengan kemenangan itu sama sekali tidak menduga akan melakar keputusan majoriti tertinggi berbanding empat lagi pesaing lain dari Belanda, Jerman dan Rusia.
"Saya hargai kepercayaan yang diberi oleh delegasi yang mengundi saya. Saya tidak menduga majoriti sebegini besar, ini satu pengiktirafan FIH terhadap hoki di Malaysia," katanya pada sidang akhbar sempena majlis penutup Kongres FIH 2012 di sini, semalam.

Kemenangan tersebut juga meletakkan Tengku Abdullah sebagai wakil Malaysia kedua dalam Lembaga Pengarah FIH selepas Presiden Persekutuan Hoki Asia, Sultan Azlan Shah.
Kemenangan itu membolehkan Asia memiliki tiga wakil dalam Lembaga Pengarah FIH termasuk Qasim Zia dari Pakistan.

Menurut Tengku Abdullah, harapan yang diletakkan di bahunya sudah tentu amat tinggi dan sebab itu, dia perlu bertindak secara lebih tersusun agar perancangan yang diatur dapat mencapai kejayaan.
"Matlamat saya adalah meletakkan hoki Malaysia berada pada kelas dunia dan bagi Asia pula saya mahu melihat benua ini sebagai satu Asia," tegasnya.

Mengulas mengenai cadangan Malaysia untuk membida sebagai tuan rumah Hoki Piala Dunia 2018, Tengku Abdullah memberitahu, hasrat itu perlu dikaji secara terperinci terutama dari segi syarat-syarat baru yang telah diletakkan FIH, selain tambahan jumlah penyertaan pasukan bertanding.

Tambah beliau, MHC memerlukan masa sebelum melancarkan bidaan dan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Eksekutif tidak mempengaruhi mana-mana pihak dalam FIH untuk memilih negara ini sebagai tuan rumah.

"Kita juga mensasarkan untuk memenangi pingat di Olimpik dan saya amat berharap segala usaha kita ini akan mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak khususnya kerajaan untuk sama-sama berganding bahu memajukan sukan hoki di negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Presiden FIH, Leandro Negre ketika ditanya pemberita mengenai peluang Malaysia untuk menjadi tuan rumah Hoki Piala Dunia 2018 berkata, layanan yang diterima negara ini sama dengan negara-negara lain yang membuat bidaan dan setakat ini, masih belum ada mana-mana negara lagi yang mengemukakan tawaran.

SUMBER : UTUSAN


TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...