Malaysia memilih laluan sukar untuk ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2012 apabila tewas kepada Australia 3-2 semalam.
Jurulatih Malaysia, Muhammad Dharma Raj Abdullah yang kecewa dengan keputusan itu bagaimanapun enggan menyerah kalah sebaliknya berjanji akan memastikan anak buahnya memberikan aksi terbaik apabila menentang Pakistan dan India pada dua aksi terakhir.
"Saya tidak mahu kata peluang untuk Malaysia sudah tertutup kerana masih ada baki dua perlawanan.
"Jika kita menang kedua-dua perlawanan, peluang untuk beraksi pada perlawanan akhir tetap ada," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Australia semalam, Muhammad Dharma berkata, dia kecewa apabila apabila pasukannya terpaksa bermain dengan sembilan pemain.
Ia berikutan kapten pasukan, Muhammad Noor Faeez Ibrahim dan Irwan Nazli Shazrul dilayangkan kad kuning serentak pada minit ke-50 kerana membantah keputusan pengadil.
Beliau turut menyifatkan pengadil dari Belanda, Coen Bunge Van bertindak terlalu kejam terhadap anak buahnya.
"Bagi perlawanan bertaraf antarabangsa seperti ini, saya anggap beberapa keputusan dibuat pengadil tidak adil dan kejam.
"Sememangnya sukar apabila kapten pasukan terpaksa keluar padang ketika pasukan sedang mendahului 2-1.
"Namun, saya tidak menyalahkan pengadil secara keseluruhan. Pemain saya juga ada membuat beberapa kesilapan dan mereka (Australia) juga bermain dengan baik," ujarnya.
Pada perlawanan semalam, biarpun Australia mendahului menerusi jaringan pertama pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Blake Govers, namun pemain Malaysia tidak patah semangat dan memperoleh beberapa peluang gol.
Namun, gol penyamaan hanya hadir pada minit terakhir babak pertama setelah Muhammad Firhan Ashari menyempurnakan tolakan kemas sudut penalti kapten pasukan Muhammad Noor Faeez Ibrahim untuk kedudukan 1-1.
Malaysia terus mempamerkan permainan bertenaga pada separuh masa kedua apabila Amir Farid Ahmad Fuzi menjaringkan gol kedua negara sejurus perlawanan bermula pada minit ke-36 sekali gus mendahului 2-1.
Australia ternyata mempamerkan aksi menarik apabila menyumbat gol penyamaan menerusi Flynn Ogilvie pada minit ke-52 dan terus mengukuhkan kedudukan apabila gol kemenangan perlawanan dijaringkan Kane Posselt pada minit ke-60.
Sebelum itu, dalam perlawanan pertama yang bermula sejam lewat akibat hujan lebat menyaksikan juara lima kali Piala Remaja Dunia yang tewas dalam dua perlawanan dalam kejojanan ini, Jerman membelasah New Zealand 5 - 1.
sumber : UTUSAN
0 comments:
Post a Comment