Powered by Blogger.

Sunday, January 6, 2013

JADUAL LIGA HOKI REMAJA DIROMBAK



Jadual Liga Hoki Remaja 2013 dirombak sedikit bagi mengelakkan kemungkinan keputusan perlawanan Divisyen Satu diatur oleh dua pasukan yang memiliki dua wakil iaitu Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI)-Thunderbolt dan Remaja SSTMI.

Justeru Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meletakkan kedua-dua pasukan bertembung sesama sendiri lebih awal di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini sekali gus memaksa juara bertahan, SSTMI Thunderbolt bermain tiga kali berturut-turut.

Jurulatihnya, Wan Mohd. Roslan Wan Abdul Rahman berkata: "Memang ada sedikit kekeliruan pada mulanya tetapi sudah diselesaikan dan kami akur dengan KHM. Jadual asal kami bertembung sesama sendiri ialah pada pertengahan liga dan bukannya penghujung, jadi sepatutnya tidak timbul isu kemungkinan mengatur keputusan.

"Lagipun pada awal liga (17 hingga 23 Januari), kami bakal kehilangan ramai tonggak ke skuad remaja ke AYOF (Festival Olimpik Belia Australia) di Sydney tetapi kami menganggapnya satu cabaran," katanya selepas mesyuarat pengurus pasukan dan penyampaian penajaan Milo di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Pindaan perlawanan itu ke Bukit Jalil juga bagi membolehkan ramai pemain SSTMI-Thunderbolt yang 
dipanggil menjalani latihan pusat ke AYOF mulai Rabu ini kekal di situ tanpa perlu berulang-alik membazirkan masa untuk ke gelanggang asal, Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Liga Hoki Remaja musim ini mencatat rekod penyertaan terbesar, 28 pasukan bawah 19 tahun dengan lapan dalam Divisyen Satu manakala masing-masing 10 bagi Kumpulan A dan B Divisyen Dua yang berlangsung mulai Khamis ini hingga 3 Mac dan menawarkan ganjaran RM200,000.

Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI-Anderson), Majlis Sukan Sekolah-sekolah Pulau Pinang-Universiti Sains Malaysia (MSSPP-USM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Sekolah Tinggi Melaka merupakan enam lagi pasukan yang menganggotai Divisyen Satu.

Kata Wan Mohd. Roslan yang menerajui SSTMI-Thunderbolt sejak 2010 dengan mengumpul dua gelaran liga dan dua gelaran keseluruhan: "Lebih sukar untuk mempertahankan gelaran apatah lagi yang berganda (2012) bagi musim ini daripada memburunya. Kami juga tidak memandang rendah lawan. Semuanya turut hebat."
Sementara itu, Setiausaha KHM, Johari Aziz berkata, gabungan pemain skuad remaja negara Projek 2013 yang dibimbing Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan Projek 2017 bakal dihantar ke AYOF, kejohanan bawah 20 tahun antarabangsa yang turut menampilkan Australia, Great Britain dan India.

SUMBER : UTUSAN






TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...