Powered by Blogger.

Wednesday, March 13, 2013

AZLAN SHAH CUP 2013 : MALAYSIA IKAT JUARA DUNIA



IPOH - Penyerang lincah, Faizal Saari muncul wira negara apabila tolakan yang dilakukannya membolehkan Malaysia mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Australia pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-22 di Stadium Azlan Shah di sini, semalam. Kira-kira 45 saat sebelum perlawanan tamat, Faizal menggunakan kesempatan terbaik dalam pergelutan di depan gawang Australia dan terus menolak deras bola bagi gol penyamaan.

Sebelum itu, Malaysia mendapat pukulan sudut penalti kedua pada minit ke-69 tetapi gagal disempurnakan oleh Muhammad Razie Abd Rahim. Bola tampanan penjaga gol Australia, Andrew Charter muntah semula lalu disambar oleh Faizal bagi mendapatkan gol penyamaan itu.

Keputusan seri itu merupakan catatan terbaik Malaysia kerana kali terakhir skuad negara dibelasah Australia 8-1 pada Februari tahun lalu. Keputusan seri itu mengekalkan Australia di tangga teratas dengan mengumpul tujuh mata dan Malaysia di tangga kedua dengan jumlah mata yang sama tetapi berbeza jaringan gol.

Selepas mencatat dua kemenangan, anak-anak buah jurulatih Paul Revington berjaya mempamerkan permainan bertenaga dan pantas apabila berdepan juara enam kali, Australia. Seawal minit keempat, pemain negara mula menggegarkan pintu gol Australia melalui pukulan sudut penalti tetapi gagal disempurnakan oleh Faizal Saari.

Penjaga gol, S. Kumar bertindak cemerlang menangkis beberapa cubaan berbahaya jentera serangan Kanggaroos. Hasrat Malaysia mendapat gol pertama terhalang apabila cubaan berbahaya Mohammad Izad Hakim Jamaluddin pada minit ke-22 dinafikan oleh pertahanan Australia.

Malaysia terlepas peluang lagi untuk mendahului Australia apabila Muhammad Marhan Mohd Jalil gagal menyempurnakan peluang terbaik walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, Andrew Charter pada minit ke-24. Akhirnya, Kanggaroos berjaya membolosi pintu gol Malaysia melalui tolakan deras oleh Trent Mitton pada minit ke-34.

Sokongan padu lebih 4,000 penyokong tempatan berjaya menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain negara mencari gol penyamaan. Penyerang berpengalaman, Chua Boon Huat gagal menguis masuk hantaran Azlan Misron pada minit ke-52 walaupun penyerang itu sudah berada di atas garisan gol Australia tanpa dikawal.

Malaysia perlu mengucapkan tahniah kepada penjaga golnya, S. Kumar yang bertindak cemerlang menghalang sembilan pukulan sudut penalti yang diperolehi Australia. Sebelum itu, juara bertahan, New Zealand mencatat kemenangan pertama menumpaskan Korea 3-0, pada sebelah petang. New Zealand hanya mengambil masa lima minit sahaja untuk memperolehi gol pertama melalui jaringan Hugo Inglis.

Pasukan Kiwis terus mengganas dengan menyumbat gol kedua melalui Cory Bennett pada minit ke-12 dan gol ketiga dijaringkan oleh Andy Hayward pada minit ke-42. Juara lima kali, India berjaya mencatat kemenangan pertama mengalahkan musuh tradisinya, Pakistan 3-1.


Sumber : UTUSAN




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...