Powered by Blogger.

Saturday, March 2, 2013

UNIKL, THUNDERBOLT MELANGKAH KE FINAL PIALA MILO MJHL 2013


Bekalan besar yang dibawa ke laman lawan nyata berbaloi apabila Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Thunderbolt (SSTMI Thunderbolt) berjaya melangkah ke final Piala Milo yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok. 


UniKL yang membawa bekalan selesa dengan membenam lawan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Junior (SSTMI Jr) 6-0 pada pusingan pertama tidak perlu mengeluarkan peluh apabila mencatat kemenangan 3-1 pada pusingan kedua, semalam. 


Mohammad Hafif Elkan Rerasa @ Nordin yang mencipta hatrik Rabu lalu membuka jaringan UniKL pada minit ke-9 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Mohd Syafiq Zulzairin meledak dua jaringan (m-14 dan m-69) - cukup untuk menghancurkan harapan SSTMI Jr untuk mengurangkan jarak sebelum ini. 




Sementara itu, di Stadium Hoki Azlan Shah Ipoh, SSTMI Thunderbolt selaku juara bertahan juga tidak mempunyai masalah mengejutkan tuan rumah MBI Anderson apabila Mohd Hafiz Selemen membuka jaringan seawal minit ke-6 sebelum Mohd Shahril Saabah menggandakan jaringan lima minit kemudian.

Namun, jaringan N Kartigan pada minit ke-43 nyata sudah terlewat untuk kembali bangkit mengurangkan defisit jaringan. 

Bagi jurulatihnya, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman, pasukan kini sedang memburu gelaran ketiga selepas berjaya merangkul kejuaraan pada musim 2011 dan 2012. 

“Hari ini (semalam) kami memang meletakkan sasaran untuk menang dan saya merehatkan beberapa pemain. Ini adalah kali keempat kami bertemu dengan UniKL di final Piala Milo sejak 2010. 

“Pastinya UniKL menyimpan hasrat besar mahu merampas gelaran yang kami raih tahun lalu dan memberi tentangan sengit kepada pasukan di final nanti,” katanya yang tidak mempunyai masalah kecederaan pemain ketika ini. 

Keputusan pusingan kedua separuh akhir 

UniKL 3 SSTMI Jr 0 
(UniKL mng agregat 9-0) 

SSTMI Thunderbolt 2 MBI Anderson 1 
(SSTMI Thunderbolt mng agregat 10-1) 

Jadual final esok 

Final 
SSTMI Thunderbolt mln UniKL  (8.00 malam) 

Penentuan tempat 3/4 

SSTMI Jr mln MBI Anderson  (6 petang) 


(Semua perlawanan di Std Hoki Nasional Bukit Jalil)





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...