Powered by Blogger.

Sunday, March 3, 2013

THUNDERBOLTS, UNIKL BUAT PERHITUNGAN MALAM INI



Selepas dua kali berturut-turut kecundang kepada Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Thunderbolt (SSTMI Thunderbolt) di pentas final Piala Milo, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak mahu episod pahit itu berulang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini. 

“Cukuplah dua kali dan kami tidak mahu lagi menanggung kekecewaan buat kali ketiga berturut-turut. Kami mahu menebus kekalahan pada 2011 dan 2012 sekali gus mengulangi episod gembira pada 2010 dengan merangkul kejuaraan. 

“Malah, ini adalah detik terbaik untuk kami menebus semula kekalahan tipis 3-4 kepada lawan pada perlawanan terakhir liga Divisyen Satu yang membolehkan wakil Johor itu merangkul kejuaraan. Kami tidak akan benarkan mereka merangkul kejuaraan berganda,” kata jurulatih UniKL, K Enbaraj. 


Kali keempat bertembung 

Dalam pertembungan final tahun lalu, UniKL tewas tipis 1-2 yang membolehkan SSTMI Thunderbolt merangkul kejuaraan kedua berturut-turut selepas tahun sebelum itu mereka menundukkan UniKL 3-2 menerusi penentuan penalti. 

Enbaraj berkata, pertembungan kali keempat kedua-dua pasukan di pentas final sememangnya dinanti, tetapi menjangkakan saingan pastinya sengit. 

“Saya puas hati dengan prestasi ditunjukkan pemain sebelum ini dan jika mereka terus memberi tekanan kepada lawan dalam perlawanan malam esok (malam ini), sudah tentu kami dapat meraih gelaran juara Piala Milo,” katanya.
 
Juara Piala Milo akan membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 berserta trofi manakala naib juara (RM15,000), ketiga (RM12,000) dan keempat (RM10,000).



TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...