Powered by Blogger.

Wednesday, March 6, 2013

MALAYSIA TEWASKAN NEW ZEALAND 3-2 AKSI PERSAHABATAN


MELAKA - Malaysia bangkit daripada kekalahan pertama dengan menundukkan New Zealand 3-2 pada ujian persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini, malam tadi.
Malaysia yang turun dengan misi membalas dendam mendahului pasukan pelawat seawal minit ke-12 melalui jaringan Helmi Jalifaiz.

Jaringan kedua Malaysia menyusul minit ke-24 hasil jaringan padang Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil.
Pasukan bimbingan Paul Revington terus menambah derita New Zealand dengan menyumbat gol ketiga hasil pukulan kemas Nabil Fiqri Mohd. Noor seminit sebelum tamat separuh masa pertama.
Kemenangan itu sekali gus membakar semangat pasukan negara bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Sabtu ini.

New Zealand yang dibimbing Colin Batch bangkit pada separuh masa kedua dan berjaya merapatkan kedudukan melalui pukulan sudut penalti Hayward Andy minit ke-46. Kealpaan bahagian pertahanan yang sering memberikan New Zealand pukulan sudut penalti sekali lagi dihukum apabila penjaga gol Malaysia, S. Kumar dibolosi kali kedua juga melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-58 oleh Bennett Cory.

Malaysia cuba mempertahankan kelebihan dan mencipta banyak peluang pada babak kedua, namun gagal berbuat demikian. Keputusan 3-2 pada aksi ujian persahabatan yang juga bersempena Piala Charity Save Gaza itu kekal hingga wisel penamat.

Revington yang ditemui selepas ujian persahabatan itu berkata, pasukannya menunjukkan kualiti terbaik pada separuh masa pertama dari bahagian pertahanan serta mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol lawan.
"Kombinasi pertahanan serta bahagian penyudah yang berkualiti pada babak pertama menunjukkan pasukan negara bersedia menghadapi ujian sebenar," katanya.

Tambah jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu, pasukannya bagaimanapun perlu mengurangkan kesalahan di bahagian penalti yang sering mengundang pukulan sudut penalti kepada pasukan lawan.

"Empat daripada lima gol New Zealand dalam dua siri ujian persahabatan ini diperolehi daripada pukulan sudut penalti dan kita harap dapat memperbaiki kelemahan bahagian itu," ujarnya.

Perlawanan kedua itu melengkapkan siri perlawanan ujian menentang penyandang juara Piala Sultan Azlan Shah tahun lalu.

Sumber :  UTUSAN




TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...