Powered by Blogger.

Monday, March 4, 2013

SSTMI THUNDERBOLTS JUARAI PIALA MILO 2013



KUALA LUMPUR - Pasukan hoki Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolts) meraih kejuaraan hatrik Piala Milo apabila memenangi perlawanan akhir 1-0 menewaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL Young Guns) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

SSTMI Thunderbolts telah memenangi kejohanan sama pada 2012 dan 2011, dan kemenangan semalam membolehkan pasukan itu menjulang trofi serta membawa pulang RM25,000 manakala UniKL Young Guns meraih RM15,000 selaku naib juara.

Kegembiraan SSTMI Thunderbolts tidak berakhir dengan kemenangan itu sahaja, malah dua pemainnya iaitu Mohd. Shahril Saabah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir dan Mohd. Ridzwan Azmi meraih gelaran Penjaga Gol Terbaik.

Sementara anugerah Pemain Terbaik kejohanan dimenangi pemain UniKL Young Guns, Muhammad Haziq Samsul manakala rakan sepasukannya Muhd. Syafiq Zulzairin dinobat Penjaring Terbanyak dengan 14 gol.
SSTMI Thunderbolts tidak perlu menunggu lama apabila kapten pasukan Mohd. Shahril menjaringkan gol seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti untuk terus mendahului sepanjang 35 minit pertama.
Babak kedua berlangsung sengit, namun bola lebih memihak SSTMI Thunderbolts sekali gus membolehkan pasukan itu mengekalkan kedudukan hingga tamat perlawanan.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, pasukan MBI-Anderson berjaya menumpaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Junior) dengan keputusan 3-2 manakala pasukan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh memperoleh anugerah Fairplay.

Sumber : Utusan





TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...