Powered by Blogger.

Monday, March 14, 2011

MHL 2011 : EMPAT KELAB BUAT PERHITUNGAN DI SEPARUH AKHIR



KEHANGATAN Liga Hoki TNB-MHL 2010-2011 semakin memuncak. Empat pasukan - Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sapura dan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) - bakal berentap dalam separuh akhir pusingan pertama merebut Piala TNB yang bermula esok di Stadium Hoki Tun Razak. 

Juara Liga Perdana musim ini, KLHC mensasarkan kemenangan besar pada pusingan pertama separuh akhir menentang YNS namun tetap berwaspada kerana lawan turut dibarisi pemain mantap. 

“Saya pasti perlawanan menentang YNS menarik. Saya percaya perlawanan separuh akhir dan liga adalah berbeza dan kami sepasukan akan cuba memberi persembahan terbaik menewaskan mereka sekali lagi,” kata Azlan Misron selaku kapten pasukan KLHC dalam sidang media, semalam.

Sementara itu, penjaga gol YNS, Mohd Harfizi Baharom berkata, mereka tidak akan mudah tunduk sebaliknya berazam membuat kejutan ke atas KLHC, esok.

“Kami akan bertemu pasukan yang mantap daripada setiap sudut termasuk pertahanan dan serangan. Tapi kami tetap akan memberi yang terbaik untuk perlawanan nanti,” katanya yang perlu bersedia menghadapi gempuran tonggak KLHC diketuai Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.

Sapura yang bakal menentang TNB pasti akan mengatur strategi untuk tidak terlalu tertekan apabila menghadapi lawan yang jelas sentiasa berada di hadapan mereka.
“Kita tidak mahu melakukan kesilapan terutama dalam pusingan separuh akhir pertama kerana sebarang kesilapan boleh menghancurkan pasukan dan kita akan bagi tumpuan pada perlawanan pertama.

“Pada saya, halangan utama bertemu TNB adalah S Kumar yang saya sifatkan penjaga gol kelas dunia dan saya jangkakan akan membawa masalah kepada Sapura nanti,” kata bekas pemain kebangsaan, S Kuhan yang berteka-teki dengan tarikh persaraannya. 

Sumber : BERITA HARIAN ONLINE

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...