Powered by Blogger.

Saturday, March 19, 2011

TEKAD "GILA" SAPURA ANCAMAN KLHC



KEKUATAN mental menjadi pertaruhan Sapura pada perlawanan akhir Piala TNB menentang pasukan pilihan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Stadium Tun Razak, malam ini.

“Mengikut penilaian hoki moden, KLHC memang tiada tandingan. Mereka kebal di semua posisi. Pemain dan penjaga gol mereka adalah yang terbaik tetapi gunung mana tidak mampu ditakluki?” kata pengendali Sapura, I Viknewaran yang yakin anak buahnya mampu menamatkan badi final tiga tahun berturut-turut, kali ini. 

Meskipun pemain import Pakistan, Rehan Butt cedera ringan selepas perlawanan separuh akhir minggu lalu, selain kehilangan tiga tonggak Jivan Mohan, penjaga gol Wales, David James dan Ridzuan Ponirin yang mempunyai jumlah penalti maksimum, itu bukan bermakna Sapura mengalah sebelum berjuang. 

“Mental kami kuat. Nasihin (Nubli Ibrahim - penjaga gol) umpamanya mempunyai komitmen tinggi sebagai ketua jurulatih skuad hoki wanita, kepada keluarga dan skuad. Malah, dia kini ketagih untuk beraksi. Begitu juga, Jiwa (Mohan) yang bertugas dan mempunyai keluarga di Australia, terpaksa berulang alik setiap minggu sebelum perlawanan.

“Sebenarnya, hanya orang gila saja yang mampu melakukan semua ini. Dalam aspek sains sukan, perkara ini ada kesannya. Tetapi, bagi mereka, apabila pengorbanan dan kesukaran sudah sebati dalam diri, segala-galanya menjadi lali.”

“Pemain Sapura adalah pendekar dan pejuang yang keras hati. Mereka akan berjuang bermati-matian. Itu kelebihan kami.”

Pada masa sama, Viknewaran berkata, ada hikmah di sebalik ranjau berliku dilalui anak buahnya sepanjang aksi Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini, termasuk pernah berada di tangga ketujuh liga dan tewas kepada skuad bukan pilihan - situasi itu mengukuhkan hubungan sesama pemain.
“Setiap kali berdepan kesukaran, hubungan kami sepasukan menjadi lebih erat. Ini kelebihan kami yang tidak ada pada KLHC yang menempuh laluan mudah. Maka, selepas laluan penuh liku dan air mata, kami tidak akan menyerah begitu mudah.” katanya. 
 
SUMBER : BERITA HARIAN

TERIMA KASIH KERANA SUDI MENGUNJUNGI BLOG KELAB HOKI STAR.KAMI MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN ANDA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...